Houston: Skuad Amerika Syarikat (AS) kini dibanjiri momentum Piala Dunia selepas membelasah Paraguay 4-1 dalam perlawanan pembukaan, sekali gus memperoleh antara elemen paling penting diperlukan untuk mara jauh dalam kejohanan itu, kata bekas pemain antarabangsa, Brian McBride, kepada Reuters.
Bekas penyerang Fulham dan Everton itu yang beraksi pada Piala Dunia 1998, 2002 dan 2006 berkata, beliau dapat melihat keserasian pasukan itu mula terbentuk ketika aksi pemanas badan menentang Jerman apabila juara dunia empat kali itu bergelut mengekang larian berbahaya daripada pemain pertahanan sayap seperti Sergino Dest dan Antonee Robinson.
AS memulakan kempen kejohanan mereka Jumaat lalu dengan kemenangan bergaya yang bagi sesetengah pihak dianggap di luar jangkaan, namun ia menjadi permulaan impian buat tuan rumah bersama itu.
Empat gol yang dijaringkan itu adalah jumlah tertinggi pernah dicatatkan AS dalam satu perlawanan Piala Dunia.
“Anda dapat melihat asas kepada kemampuan yang bakal mereka pamerkan,” kata McBride.
“Jadi untuk mereka beraksi dalam suasana dan tekanan sebegitu serta melaksanakan perancangan dengan baik sepanjang perlawanan adalah sesuatu yang sangat mengujakan ketika mereka melangkah ke hadapan.”
McBride turut memuji jentera serangan yang sentiasa meregangkan benteng Paraguay, menambah bilangan pemain di bahagian tengah dan memberi ruang kepada pemain untuk menonjolkan kreativiti mereka, sesuatu yang menurutnya belum pernah dilihat dalam pasukan itu sebelum ini.
“Pendekatan ini akan menyukarkan lawan untuk membuat analisis dan bertahan menentang pasukan yang serba boleh serta dibarisi pemain muda yang menarik, yang pasti penuh keyakinan selepas persembahan menentang Paraguay,” katanya.
“Perkara paling penting yang anda peroleh dalam Piala Dunia ialah momentum dan banyak kali momentum itu mampu membawa kepada sedikit tuah serta keputusan yang lebih baik daripada jangkaan.
“Tetapi yang pasti, ia memberi keyakinan anda mampu terus berada di landasan yang sama.”
Amerika Syarikat akan melayan Australia di Seattle pada awal pagi Sabtu yang dianggap McBride bakal menyaksikan sokongan padu penyokong yang akan membakar semangat pemain dan membantu mereka meraih kemenangan, sekali gus menjamin tempat ke pusingan kalah mati.
“Bakat itu memang ada dan anda dapat melihat idea permainan mereka,” katanya.
“Saya berharap mereka mampu bermain dengan cara yang sama menentang pasukan Australia yang baik dan sukar untuk ditembusi.”
Amerika Syarikat akan menentang Turkiye di Los Angeles dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 25 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




