Steven Sim dilantik Menteri Pengiring Presiden Singapura

Steven Sim dilantik Menteri Pengiring Presiden Singapura

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dilantik sebagai Menteri Pengiring sempena Lawatan Negara Pertama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia selama empat hari, bermula Ahad.

Steven berkata, peluang tersebut amat bermakna berikutan beliau pernah menghadiri syarahan pemimpin itu pada program program Young Global Leaders anjuran World Economic Forum di Universiti Nasional Singapura, 14 tahun lalu.

Menurut beliau, Tharman ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, manakala beliau baru berusia 30 tahun dan berkhidmat sebagai ahli majlis di Pulau Pinang.

“Lawatan ini akan terus mengukuhkan hubungan rapat antara Malaysia dan Singapura serta membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, termasuk dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Tharman dan isterinya, Jane Ittogi Shanmugaratnam serta delegasi Singapura tiba di Kuala Lumpur pada malam Ahad dan akan berada di Malaysia sehingga 15 Julai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Singapura yang kesembilan itu sebelum melawat Seri Negara dan menghadiri majlis bersama rakyat Singapura anjuran Suruhanjaya Tinggi Republik negara itu.

Tharman juga dijadualkan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Menteri Besar Selangor.

 

Scroll to Top