Stok simpanan minyak dijangka susut ke paras terendah dalam sejarah

Stok simpanan minyak dijangka susut ke paras terendah dalam sejarah

NEW YORK – Exxon Mobil memberi amaran pada Khamis bahawa stok simpanan minyak dijangka susut ke paras terendah dalam sejarah dalam tempoh beberapa minggu akan datang, sekali gus menyebabkan harga melonjak dan menjejaskan permintaan.

“Kita sedang menghampiri paras inventori yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Naib Presiden Kanan Exxon, Neil Chapman pada satu persidangan anjuran Bernstein di New York.

“Maksud saya, paras yang benar-benar rendah. Sama ada ia berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu, itu boleh diperdebatkan. Tetapi apabila sampai ke tahap itu, harga akan melonjak tinggi,” katanya.

Menurut beliau, harga kargo minyak Brent boleh meningkat kepada AS$150 hingga AS$160 setong apabila inventori mencapai paras terendah sepanjang masa dalam beberapa minggu akan datang.

“Apabila harga mencapai tahap tertentu, kehilangan permintaan akan mengembalikan keseimbangan pasaran,” katanya.

Niaga hadapan Brent bagi penghantaran Julai, kontrak paling hampir, ditutup di bawah AS$94 setong pada Khamis selepas pelabur kembali berharap kepada penyelesaian antara Amerika Syarikat dan Iran yang akan membuka semula Selat Hormuz.

Penutupan selat itu oleh Iran telah menyebabkan pasaran kehilangan lebih satu bilion tong minyak setakat ini, gangguan bekalan minyak terbesar dalam sejarah, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Chapman berkata, simpanan stok minyak setakat ini berjaya mengurangkan kesan gangguan tersebut, namun keadaan itu tidak boleh bertahan selama-lamanya.

Awal bulan ini, IEA memberi amaran bahawa inventori minyak sedang susut pada kadar terpantas pernah direkodkan.

Negara anggota organisasi itu pada Mac lalu bersetuju melepaskan rekod 400 juta tong minyak bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan.

Dalam tempoh dua bulan lalu, eksekutif industri minyak turut memberi amaran bahawa pasaran niaga hadapan minyak mentah tidak mencerminkan skala sebenar gangguan yang tercetus akibat perang di Asia Barat.

“Saya tidak tahu sama ada ia berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu atau tiga hingga empat minggu.

“Apa yang saya cuba katakan ialah apabila inventori mencapai paras minimum dan terendah sepanjang masa, hanya ada satu arah sahaja selepas itu. Itulah situasinya, ” kata Chapman. – Agensi

Scroll to Top