PETALING JAYA: Tidak banyak organisasi sukan mampu mengubah nasib mereka dalam tempoh hanya dua tahun, namun Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuktikan sebaliknya apabila berjaya bangkit daripada pelbagai kemelut untuk kembali meletakkan sukan warisan negara itu di landasan kegemilangan.
Perkara itu berjaya dicapai di bawah kepimpinan Datuk Wira Sumali Reduan, apabila PSM bukan sahaja berjaya meredakan konflik dalaman yang pernah membelenggu badan induk itu, malah menyusun semula hala tuju sepak takraw negara dengan lebih tersusun dan berwawasan.
Ketika mengambil alih tampuk kepimpinan, Sumali mewarisi sebuah organisasi yang berdepan pelbagai cabaran.
Memuatkan artikel berkaitan…
Prestasi pasukan kebangsaan sering menjadi sasaran kritikan, keyakinan penyokong semakin terhakis manakala Malaysia dilihat semakin jauh daripada status kuasa besar sepak takraw dunia yang pernah menjadi kebanggaan negara.

Namun begitu, suasananya jauh berbeza apabila sedikit demi sedikit, sepak takraw Malaysia kembali memperlihatkan tanda kebangkitan.
Bukan sahaja daripada sudut keputusan di gelanggang, malah keyakinan bahawa Malaysia masih mampu kembali berdiri sebaris dengan kuasa besar dunia.
Perubahan paling ketara dapat dilihat menerusi persembahan skuad kebangsaan ketika berdepan Thailand, pasukan yang sekian lama menjadi simbol dominasi dalam arena sepak takraw antarabangsa.
Jika suatu ketika dahulu Thailand sering dianggap terlalu sukar untuk dicabar, kini Malaysia tidak lagi turun ke gelanggang dengan mentaliti bertahan atau sekadar mengharapkan keajaiban.
Sebaliknya, skuad negara tampil dengan keyakinan bahawa mereka mampu menewaskan musuh tradisi itu.
Beberapa keputusan dalam kejohanan-kejohanan besar mula membuktikan jurang yang memisahkan kedua-dua negara semakin mengecil.
Malaysia bukan sahaja memberikan tentangan sengit, malah berjaya meraih kemenangan yang menghidupkan semula keyakinan seluruh warga sepak takraw negara.
Lebih penting daripada kemenangan itu ialah perubahan mentaliti yang berlaku dalam kalangan pemain.
Mereka kini percaya bahawa Jalur Gemilang masih mampu berkibar megah di pentas dunia dan bahawa Malaysia masih mempunyai kemampuan untuk mencabar sesiapa sahaja, termasuk kuasa nombor satu dunia.
Sudah tentu kebangkitan ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi ia lahir daripada usaha berterusan jurulatih, pemain, pegawai dan seluruh warga PSM yang bekerja keras membina semula kekuatan pasukan daripada akar umbi sehingga ke peringkat elit.
Sebagai Presiden PSM, Sumali memainkan peranan penting dalam menyediakan kestabilan yang diperlukan untuk memastikan proses pembangunan dapat berjalan tanpa gangguan.
Dalam tempoh dua tahun, beliau memberi fokus kepada pembinaan struktur yang lebih tersusun, pembangunan bakat baharu dan pengukuhan program kebangsaan.
Pendekatan itu mengingatkan kepada era Allahyarham Tun Khir Johari, tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan sepak takraw negara sehingga Malaysia muncul antara pasukan paling disegani di dunia.
Sudah tentu zaman berubah dan cabarannya juga berbeza namun matlamatnya tetap sama iaitu memastikan sepak takraw Malaysia terus menjadi kebanggaan negara dan kekal relevan di pentas antarabangsa.
Perjalanan masih panjang dan masih banyak yang perlu diperbaiki dan lebih banyak kejayaan yang perlu dikejar.
Namun selepas dua tahun mengemudi PSM, Sumali sekurang-kurangnya telah berjaya mengembalikan sesuatu yang pernah hilang daripada sepak takraw negara iaitu keyakinan.
Menamatkan penantian pingat emas 34 tahun di Sukan SEA Thailand, kemudian mengakhiri kemarau emas 36 tahun di Sukan Asia Aichi-Nagoya membuktikan kepimpinan Sumali berjaya membawa PSM menuju ke arah era kegemilangan baharu atau transformasi luar biasa.
Jika momentum ini dapat diteruskan, tidak mustahil kebangkitan yang sedang berlaku hari ini akan dikenang sebagai titik perubahan yang membawa Malaysia kembali ke kelompok elit sepak takraw dunia.-UTUSAN




