BANDAR GAZA/ISTANBUL – Seorang wanita dan empat kanak-kanak terbunuh manakala beberapa yang lain cedera selepas tanah runtuh menghempap khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Pertahanan Awam.Jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Basal memberitahu Anadolu bahawa ribut menyebabkan timbunan pasir dan batu runtuh lalu menghempap khemah di Deir al-Balah.Agensi itu memaklumkan bahawa operasi mencari individu yang masih hilang sedang diteruskan.Wartawan Anadolu melaporkan bahawa pasukan Pertahanan Awam dan penduduk tempatan berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan asas, namun usaha mereka terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan kekurangan peralatan menyelamat.Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza Munir al-Bursh pada Ahad merayu agar bekalan perlindungan sementara disegerakan selepas banjir menyebabkan 350,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal terpaksa tidur di kawasan terbuka.”Adakah dunia menunggu sehingga anak-anak kami mati kesejukan?” kata beliau sambil menggesa tindakan segera diambil bagi melindungi kanak-kanak di pusat penempatan sementara.Al-Bursh turut menggesa supaya lintasan sempadan dibuka bagi membolehkan khemah dan bahan pembinaan dibawa masuk.Beliau berkata ribuan khemah masih menunggu di lintasan sempadan, namun tentera Israel enggan membenarkannya memasuki Gaza.Hujan lebat dan angin kencang melanda Gaza sejak petang Jumaat.Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa 70,000 khemah ditenggelami air manakala puluhan dinding yang sebelum ini rosak akibat pengeboman Israel runtuh dalam tempoh 12 jam pertama ribut melanda.Pertahanan Awam pada Sabtu memaklumkan bahawa keseluruhan kawasan penempatan sementara dilanda banjir, dengan paras air mencecah 1.5 meter di beberapa kawasan.Perang genosid Israel yang bermula pada Oktober 2023 telah memusnahkan kediaman dan infrastruktur di seluruh Gaza, memaksa ratusan ribu penduduk Palestin berlindung di tempat perlindungan sementara.Sekatan Israel terhadap kemasukan bahan binaan, bekalan perlindungan sementara dan peralatan pembinaan masih berterusan meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025. – Bernama
Tanah runtuh ragut nyawa wanita, 4 kanak-kanak di tengah Gaza