The Voice of Hind Rajab jadi tumpuan di Venice

The Voice of Hind Rajab jadi tumpuan di Venice

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Filem The Voice of Hind Rajab mencetuskan fenomena luar biasa apabila menerima penghormatan tepukan berdiri (standing ovation) selama 23 minit pada tayangan perdana di Festival Filem Venice, baru-baru ini.

Karya arahan pengarah Tunisia, Kaouther Ben Hania itu mencipta rekod antara tepukan paling lama dalam sejarah festival itu sebagai tanda solidariti terhadap kanak-kanak Palestin.

Filem ini memaparkan tragedi sebenar yang berlaku pada 29 Januari 2024 membabitkan Hind Rajab, kanak-kanak Palestin yang terperangkap dalam serangan di Gaza.

Kisahnya menjadi tumpuan dunia selepas dia menjadi mangsa korban konflik berkenaan.

Apa yang memberi impak besar kepada penonton adalah penggunaan rakaman audio sebenar panggilan telefon Hind ketika meminta pertolongan.

Pengarah memilih untuk tidak menggunakan suara pelakon, sebaliknya mengekalkan audio tulen bagi menunjukkan realiti sebenar yang berlaku tanpa sebarang tapisan.

Naskhah ini turut mendapat sokongan kuat daripada bintang Hollywood apabila Brad Pitt dan Joaquin Phoenix bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Pembabitan mereka bertujuan memastikan kisah tragis Hind ini mendapat perhatian di peringkat global dan bukan sekadar di festival filem semata-mata.

The Voice of Hind Rajab bukan sekadar filem fiksyen, tetapi berfungsi sebagai dokumen kemanusiaan. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada dunia mengenai nasib ribuan kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan.

Melalui naskhah ini, penonton dibawa menyelami detik cemas dan kesunyian panggilan bantuan yang tidak dijawab, sekali gus meninggalkan persoalan besar mengenai nasib mangsa konflik yang masih belum terbela.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top