Tiada petunjuk, Op Carilamat dua nelayan hilang diperluas

Tiada petunjuk, Op Carilamat dua nelayan hilang diperluas

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Batu Pahat, dekat Sungai Dulang, di sini sejak Jumaat lalu, belum menemukan sebarang petunjuk.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat, Komander Mohammad Zaini Zainal berkata, bot Petir 51 digerakkan dengan sektor pencarian diperluas meliputi kawasan seluas 207 batu nautika persegi.

“Operasi kini tertumpu di sekitar posisi terakhir mangsa dilaporkan jatuh ke laut dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohammad Zaini menggesa komuniti menangguhkan aktiviti ke laut sekiranya cuaca tidak mengizinkan serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap risiko di laut dan membuat persediaan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Op Carilamat sejak petang Sabtu lalu dengan APMM Zon Batu Pahat menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sungai Tongkang, Batu Pahat bagi menyelaras operasi di lapangan.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan, diminta menyalurkan kepada Pusat Operasi APMM Zon Batu Pahat di talian 07-434 4020 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top