Trak rosak, 49 mati kehausan di Sahara

Trak rosak, 49 mati kehausan di Sahara

Agadez, Niger: Seramai 49 orang maut akibat dahaga selepas trak yang membawa mereka rosak di kawasan terpencil di Gurun Sahara di Niger, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Pejabat Gabenor Agadez dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, semua mangsa adalah sebahagian daripada kumpulan yang dalam perjalanan pulang dari Mali untuk menyambut perayaan umat Islam sebelum mereka kehabisan bekalan air.

Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa ditemukan meninggal dunia akibat dahaga di kawasan terpencil, lebih 80 kilometer (km) di barat Assamaka, iaitu persimpangan utama antara Niger dan Algeria yang terletak berhampiran sempadan Mali.

“Akibat ketiadaan bekalan air dan kegagalan membaiki kenderaan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pemandu, pembantunya serta penumpang, kumpulan pengembara itu terperangkap dalam persekitaran yang amat mencabar.

“Suhu yang melampau serta ketiadaan sumber air menjadikan usaha untuk terus hidup hampir mustahil,” menurut pejabat gabenor itu sambil memaklumkan semua mangsa dikebumikan dalam satu kubur besar.

Bagaimanapun, dua individu terselamat selepas berjalan kaki sejauh lebih 50 km untuk mencari sumber air berhampiran, sebelum meneruskan perjalanan ke Assamaka dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, kata pejabat gabenor.

Kawasan gurun berkenaan adalah laluan transit utama bagi migran yang cuba bergerak dari negara-negara Afrika ke Eropah, dengan ramai yang dilaporkan terkorban akibat dahaga atau kebuluran di kawasan pasir yang gersang dan bersuhu tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top