Trump kait normalisasi Israel syarat damai dengan Iran

Trump kait normalisasi Israel syarat damai dengan Iran

WASHINGTON – Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik yang tercetus sejak Februari lalu diteruskan di Doha, Qatar pada Isnin ketika kedua-dua pihak masih berhati-hati terhadap kemungkinan tercapainya perjanjian damai dalam masa terdekat.

Memetik laporan AFP, Presiden AS, Donald Trump berkata, sebarang perjanjian dengan Iran perlu melibatkan normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel menerusi Abraham Accords.

Menurut Trump, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Pakistan, Mesir, Turkiye, Bahrain dan Jordan perlu menyertai perjanjian tersebut sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan keamanan menyeluruh di Asia Barat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara terbabit berhubung usaha menamatkan perang antara Washington dan Teheran.

Dalam masa sama, Trump turut menggariskan beberapa cadangan berkaitan uranium diperkaya Iran yang menjadi isu utama rundingan.

“Uranium diperkaya itu sama ada diserahkan segera kepada AS untuk dimusnahkan atau dimusnahkan di lokasi tertentu dengan pemantauan pihak berkaitan,” katanya menerusi platform Truth Social.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada cadangan itu sudah menjadi sebahagian daripada draf perjanjian rasmi antara kedua-dua negara.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu, AS dan Iran masih meneruskan rundingan diplomatik walaupun ketegangan di rantau itu belum reda sepenuhnya.

Iran sebelum ini terus mengetatkan kawalan di Selat Hormuz, manakala tentera laut AS pula memperketat operasi terhadap pelabuhan Iran.

Trump turut memberi amaran bahawa perjanjian dengan Iran sama ada akan menjadi sesuatu yang ‘besar dan bermakna’ atau langsung tidak akan berlaku.

Namun, cadangan normalisasi hubungan dengan Israel terus mendapat tentangan di kebanyakan negara Asia Barat kerana isu Palestin masih belum diselesaikan.

Arab Saudi dan Qatar sebelum ini menegaskan mereka tidak akan menjalinkan hubungan rasmi dengan Israel selagi negara Palestin merdeka tidak diwujudkan.

Sumber Arab Saudi memberitahu stesen penyiaran Al Arabiya bahawa pendirian Riyadh terhadap isu Palestin kekal tidak berubah dan menuntut laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, beberapa isu utama dalam rundingan sudah mencapai kemajuan, namun menafikan perjanjian damai hampir dimeterai.

“Kami memang mencapai kesimpulan bagi sebahagian besar isu, tetapi tiada siapa boleh mendakwa perjanjian akan ditandatangani dalam masa terdekat,” katanya. – AFP

Scroll to Top