Trump sekali lagi dakwa Selat Hormuz akan menjadi wilayah AS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencadangkan pada Selasa supaya Selat Hormuz menjadi wilayah AS.

Beliau memuat naik peta laluan perairan itu di media sosial miliknya, Truth Social di bawah tajuk ‘Wilayah Baharu AS. 

Hantaran tersebut mendorong seorang pegawai kanan Iran menyifatkan dakwaan itu sebagai khayalan.

Bahagian peta yang ditandakan turut merangkumi sebahagian kawasan pantai Iran, Oman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Hantaran itu mengulangi mesej yang hampir sama dengan hantaran Trump minggu lalu, apabila beliau menulis mengenai selat tersebut: “Saya rasa akan menguasainya.”

Bagaimanapun, Pegawai Rumah Putih kemudian berkata, Trump bergurau ketika bercakap mengenai pengisytiharan selat itu sebagai wilayah AS.

Namun, hantaran Trump pada Selasa itu dibuat sehari selepas beliau berkata bahawa mengisytiharkan selat tersebut sebagai wilayah AS merupakan idea yang bagus.

“Maksud saya, kita mengawalnya,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih  ketika ditanya mengenai maksud kenyataan terdahulunya bahawa beliau akan mengisytiharkan selat itu sebagai wilayah AS tidak lama lagi.

“Kita mengawalnya melalui sekatan dan saya suka idea untuk mengisytiharkannya sebagai wilayah,” ujarnya.

Trump pertama kali mengemukakan idea itu pada satu acara pada 14 Ogos, dengan mendakwa bahawa Tentera Laut AS mengekalkan sekatan penuh terhadap Selat Hormuz.

“Selepas menewaskan Iran sepenuhnya, tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS,” kata Trump.

Selat Hormuz kini menjadi tumpuan utama perang yang telah berlangsung hampir enam bulan antara AS dan Iran. – AGENSI

Scroll to Top