Tular gadis berhijab Indonesia sertai tentera AS

Tular gadis berhijab Indonesia sertai tentera AS

Jakarta: Media sosial baru-baru ini digemparkan dengan kisah seorang wanita warga negara Indonesia (WNI) yang menyertai pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), lapor Kompas.

Satu rakaman video dipercayai di lapangan terbang AS memaparkan detik hiba seorang ibu berpelukan dengan anak perempuannya yang akan berlepas untuk bertugas sebagai tentera, menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Wanita muda itu dilihat berpakaian seragam tentera AS dan berhijab ketika berpisah dengan keluarganya.

Video berkenaan tular dengan pantas sehingga mencetuskan rasa ingin tahu orang ramai selepas identitinya dikenal pasti sebagai rakyat Indonesia.

Menurut Kompas, wanita terbabit ialah Kezia Syifa, seorang WNI berasal dari Tangerang, Banten yang kini berkhidmat sebagai anggota Pengawal Kebangsaan Tentera AS.

Walaupun baru berusia 20 tahun, keputusannya menyertai pasukan keselamatan di negara asing menarik perhatian netizen.

Kezia dilaporkan sebahagian daripada keluarga diaspora Indonesia yang menetap di Maryland, AS, sejak pertengahan 2023.

Dia bersama ibu bapanya berpindah ke AS menggunakan status kad hijau (green card) atau permit pemastautin tetap.

Status ini memberikan Kezia melanjutkan pelajaran dan memilih kerjaya di negara berkenaan.

Sebelum menyertai Pengawal Kebangsaan Tentera AS, Kezia terlebih dahulu menyambung pengajiannya di sana.

Faktor persekitaran dan peluang pembangunan diri mendorongnya mencari laluan yang mampu membentuk disiplin serta tanggungjawab diri.

Ibunya, Safitri berkata, keputusan anaknya menyertai tentera dibuat selepas melalui perbincangan panjang bersama keluarga.

Katanya, motivasi utama anaknya adalah untuk pendidikan dan pembentukan karakter memandangkan dia kini menetap serta bersekolah di sana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top