SHAH ALAM – Tindakan tegas, telus dan menyeluruh perlu diambil terhadap mana-mana anggota keselamatan sekiranya didapati terlibat dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan.Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, langkah itu penting supaya menjadi pengajaran bahawa uniform, jawatan atau kedudukan dalam organisasi bukan lesen untuk melakukan jenayah.Menurut beliau, insiden penyalahgunaan kemudahan pengangkutan udara tentera bagi kegiatan penyeludupan dadah juga perlu dipandang serius kerana membabitkan soal integriti, disiplin dan amanah anggota keselamatan.”Prinsipnya mudah, tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.”Kemudahan, aset dan infrastruktur ketenteraan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini memaklumkan bahawa polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan susulan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.Menurutnya, operasi tersebut membawa rampasan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kg.Susulan itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, pegawai berkenaan ditahan selepas cuba menyeludup dadah di Pangkalan Udara Subang dengan mencampurkan bagasi berisi bahan terlarang bersama bagasi yang sudah melepasi mesin pengimbas.Ujar beliau, cubaan itu berjaya dikesan pegawai Cawangan Pergerakan Udara yang menemui lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan di kawasan legar ketibaan serta tuntutan barang pada jam 10 pagi.Mengulas lanjut, Zaki berkata, kejayaan anggota TUDM mengesan 96.64 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta membuktikan elemen keselamatan di pangkalan berkenaan berfungsi dengan berkesan.Menurutnya, tindakan pantas anggota Pasukan Khas TUDM (HANDAU) mengesan dan memeriksa bagasi mencurigakan sehingga menemui bungkusan disyaki syabu memperlihatkan tahap kesiapsiagaan, kepekaan dan profesionalisme anggota.”Pemeriksaan keselamatan rutin bukan sekadar prosedur biasa, sebaliknya menjadi benteng penting untuk mengesan ancaman serta penyalahgunaan kemudahan ketenteraan ketika melaksanakan tanggungjawab.”Kejayaan mengesan dan mengekang kegiatan berkenaan membuktikan mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan dalaman masih berfungsi,” katanya.Bagaimanapun, beliau berkata, kesalahan segelintir anggota tidak seharusnya menyebabkan pengorbanan dan khidmat bakti ribuan anggota TUDM yang menjalankan amanah dengan penuh integriti dipersoalkan.
Uniform, pangkat bukan lesen lakukan jenayah
Malay News | https://www.malay.news/uniform-pangkat-bukan-lesen-lakukan-jenayah/