
Ewon (empat dari kanan) ketika mengetuai delegasi UPKO bertemu dengan Hajiji untuk menyertai GRS di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah mengemukakan permohonan untuk menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang mengetuai delegasi parti itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, sebelum menyerahkan permohonan berkenaan.
Menurut Ewon, UPKO berhasrat menyumbang kepada usaha penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh pembangunan negeri serta memperjuangkan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan UPKO adalah selari dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang perlu diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin lalu telah sebulat suara bersetuju untuk memohon menjadi parti komponen GRS.



