LONDON – Bilangan individu yang maut selepas menghadapi kesukaran di kawasan air ketika gelombang haba meningkat kepada 14 orang, ketika polis Britain memberi amaran bahawa kawasan air terbuka adalah “amat berbahaya”.
Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke Tasik Balderton, berhampiran Heron Way di New Balderton pada jam 2.35 petang Khamis selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki memasuki air, menurut Polis Nottinghamshire, lapor PA Media/dpa.
Seorang lelaki berusia 19 tahun yang berada di tasik itu bersama rakan-rakannya berjaya dibawa keluar dari dalam air dan diberi rawatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital.
Pada Sabtu, pihak polis memaklumkan lelaki itu meninggal dunia, sambil menambah keluarganya telah dimaklumkan dan sedang diberi sokongan oleh pegawai khas.
Polis berkata, tiada unsur mencurigakan dipercayai terlibat dan satu laporan akan disediakan untuk koroner.
Ketua Inspektor Newark Clive Collings berkata, ia merupakan satu insiden tragis.
“Kami memahami perkara ini amat menyedihkan komuniti setempat dan kami menggalakkan orang ramai mendapatkan sokongan sekiranya diperlukan,” katanya.
Pengurus Kumpulan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Nottinghamshire, Charlotte Weatherall-Smith berkata, insiden seumpama itu menjadi peringatan jelas mengenai bahaya yang boleh ditimbulkan oleh kawasan air terbuka.
“Walaupun pada hari panas dan cerah, suhu air boleh menjadi jauh lebih sejuk daripada yang disangka, dan memasuki air boleh menyebabkan kejutan akibat air sejuk, yang boleh berlaku secara tiba-tiba, serius dan berpotensi membawa maut.
“Demi keselamatan diri, jangan memasuki air atau cuba melakukan operasi menyelamat sendiri kerana tindakan itu boleh membahayakan nyawa orang lain,” katanya
Kenyataan itu dibuat selepas polis memaklumkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun meninggal dunia di hospital pada Sabtu selepas menghadapi kesukaran di laut berhampiran pantai Merseyside pada cuti umum Isnin.
Chiedza Nyanjowa dari Cheshire dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Alder Hey selepas berenang di pantai Formby, menurut Polis Merseyside.
Cuaca panas menarik ramai orang untuk berenang di kawasan air terbuka, mengakibatkan beberapa kematian di South Yorkshire, West Yorkshire, Cornwall, Hampshire, Warwickshire, Cheshire, Pembrokeshire, Lincolnshire dan Lancashire sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Antara kes itu ialah seorang wanita berusia 72 tahun yang meninggal dunia selepas dibawa keluar dari air di pantai West Angle Bay di Pembrokeshire, Wales pada Ahad, serta seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai dikenali sebagai Reco Puttock, yang meninggal dunia selepas menghadapi kesukaran di Empangan Leadbeater berhampiran Halifax, West Yorkshire pada Isnin.
Pada Selasa, England dan Wales merekodkan hari paling panas bagi bulan Mei apabila suhu melonjak kepada 35.1 darjah Celsius di Kew Gardens, barat London, manakala suhu 32.9 darjah Celsius direkodkan di Bute Park, Cardiff, menurut Met Office.
Perkhidmatan cuaca itu memaklumkan suhu dijangka mencecah 30 darjah Celsius di tenggara England pada Sabtu, yang diramalkan menjadi hari terakhir cuaca panas terik.
Pada Ahad, hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan di seluruh United Kingdom (UK), dengan suhu menghampiri paras purata bagi tempoh ini dalam setahun, menurut Met Office menerusi laman sesawangnya.
Suhu tertinggi 24 darjah Celsius dijangka direkodkan di London pada Ahad, manakala Birmingham mencatat 19 darjah Celsius, Aberdeen 17 darjah Celsius dan Belfast 19 darjah Celsius.
Pada Sabtu malam, South East Water memaklumkan bekalan air minuman telah dipulihkan kepada 15,500 pelanggan di seluruh Kent, termasuk di kawasan Whitstable dan Herne Bay, susulan masalah pada rangkaiannya sepanjang tempoh cuaca panas.
Syarikat itu menambah pihaknya sedang berusaha memulihkan bekalan kepada kira-kira 500 pelanggan yang masih terputus bekalan air, manakala 3,600 lagi mengalami gangguan bekalan secara berkala. – Bernama-PA Media/dpa



