628 klinik bakal dinaik taraf, wujudkan di Kampung Orang Asli menjelang 2035 -TPM Zahid

628 klinik bakal dinaik taraf, wujudkan di Kampung Orang Asli menjelang 2035 -TPM Zahid

Kerajaan menyasarkan kesemua klinik kesihatan di 628 perkampungan Orang Asli di seluruh negara dinaik taraf atau diwujudkan menjelang 2035 sebagai sebahagian usaha memperkukuh kemudahan kesihatan komuniti berkenaan.

Usaha akan dilaksana walau terdapat kekangan peruntukan

Memetik laporan daripada Buletin Tv3, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, usaha itu akan dilaksanakan meskipun terdapat kekangan dari segi peruntukan.

“Jika ianya melibatkan kos yang tinggi, ianya boleh diintegrasikan di kampung yang berdekatan untuk ada sebuah klinik yang telah dinaik taraf.
“Memang ada klinik-klinik yang ada tetapi kita harap kerana menyantuni soal kesihatan ini kita mesti memberikan perkhidmatan kepada mereka kerana mereka juga adalah warganegara Malaysia yang berhak untuk diberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Air Banun, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd Noor.

628 klinik bakal dinaik taraf, wujudkan di Kampung Orang Asli menjelang 2035 -TPM Zahid

Usaha pencegahan penyakit & pastikan rawatan dapat diteruskan

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional berkata, melalui NSPSDHOA 2026–2035, penekanan turut diberikan kepada usaha pencegahan penyakit dalam kalangan Orang Asli selain memastikan rawatan dapat diteruskan.

“Yang paling penting ialah bagaimana pencegahan harus dilakukan bukan sahaja dalam soal pemakanan, soal kesedaran, dan soal-soal lain yang berkait dengan kehidupan harian masyarakat Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata doktor pakar dapat disediakan di hospital daerah yang menempatkan penduduk Orang Asli bagi memastikan kes penyakit kronik yang dialami komuniti berkenaan dapat dirawat secara menyeluruh.

Mengulas mengenai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Ahmad Zahid berharap akta berkenaan dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang sebelum penghujung tahun ini.

“Akta itu telah diluluskan pada tahun 1954, terlalu lama, ya. Artinya 70, 72 tahun. Tiba masanya untuk akta itu dipinda. Oleh kerana ianya melibatkan Duli-Duli yang Mulia, Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku, maka kertas kabinet yang telah diluluskan pada dasarnya perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja Raja untuk penelitian,” katanya.

Beliau menambah beberapa pindaan utama berkaitan soal tanah sedang ditambah baik memandangkan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Ahmad Zahid turut berharap kertas berkenaan dapat dibentangkan selepas Kabinet meluluskannya dengan mengambil kira nasihat serta pandangan Majlis Raja-Raja.

Sumber: Buletin TV3 (Kumaran Rajamoney)

Scroll to Top