Agih kerusi saat akhir cetus persoalan kesiapsiagaan

Agih kerusi saat akhir cetus persoalan kesiapsiagaan

SHAH ALAM – Perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung tiga hari sebelum penamaan calon PRN Johor memberi gambaran bahawa parti itu sedang bekerja dalam keadaan yang sangat terdesak dan mempunyai ruang masa terlalu sempit.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, bagaimanapun wujud kemungkinan terdapat rundingan awal di peringkat negeri dan hanya menunggu pengesahan akhir.

Menurutnya, jika sebahagian besar kerusi sebenarnya telah dipersetujui, kelewatan tersebut masih boleh dikawal.

“Namun sekiranya masih terdapat banyak kerusi yang dipertikaikan, ini menunjukkan PN belum mencapai tahap kesiapsiagaan organisasi yang sepatutnya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Felo Penyelidik Bersekutu, Institut Analisis Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Muhammad Afifi Abdul Razak berpendapat, proses rundingan kerusi PN adalah petanda positif, bukan kelemahan.

Jelasnya, ia menunjukkan PN menjalankan proses yang inklusif dan demokrasi yang mana setiap komponen parti mendapat ruang untuk menyatakan aspirasi.

“Proses internal pemilihan calon telah berjalan secara bersamaan dengan rundingan pemimpin, bukan secara berjujukan.

“Oleh itu, apabila pembahagian kerusi diumumkan, proses seterusnya akan bergerak dengan cepat dan lancar. Kesiapan PN untuk PRN adalah tinggi,” katanya.

Scroll to Top