AGROBANK menyasarkan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil dapat mengembangkan perniagaan mereka menerusi pembiayaan mikro serta program pembangunan keusahawanan yang disediakan secara menyeluruh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, bank itu kini mempunyai lebih 15,000 pengguna dalam segmen penjaja dan peniaga kecil termasuk lebih 5,000 peniaga pasar tani yang menjadi pelanggan sedia ada.
Menurutnya, Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut bekerjasama melalui Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang bukan sahaja menawarkan pembiayaan, malah latihan pengurusan kewangan, keusahawanan, pemasaran dan penggunaan teknologi digital.
“Matlamatnya adalah meningkatkan pendapatan dan jualan mereka sehingga menjadi lebih berdaya maju,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas lawatan dan ramah mesra bersama penjaja dan peniaga kecil di Pasar Tani Kelana Jaya di sini pada Sabtu.
Sempena program itu, Agrobank turut membuka kaunter di tapak pasar tani bagi memberi penerangan mengenai Agro Penjaja-i dan pelbagai penyelesaian kewangan lain yang bersesuaian dengan keperluan usahawan mikro dan penjaja kecil.
Program itu turut disertai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mendekati peniaga kecil secara langsung.
Tengku Ahmad Badli menjelaskan, menerusi program Agro Penjaja-i dan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang dilancarkan baru-baru ini, bank itu menyasarkan manfaat antara 5,000 hingga 10,000 pelanggan.
Beliau berkata, bagi peniaga yang berdepan masalah rekod kewangan atau kesukaran membuat bayaran balik, Agrobank menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan (R&R).
Menurutnya, pelanggan yang layak juga akan dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu mengurus komitmen kewangan mereka.
“Kita memberi peluang kepada mereka memanjangkan tempoh bayaran atau mengurangkan jumlah bayaran bulanan sehingga mampu diteruskan.
“Selepas kedudukan kewangan mereka stabil, kita boleh mempertimbangkan suntikan modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan,” jelas beliau.
Terdahulu, Tengku Ahmad Badli berkata, tinjauan dan lawatan di Pasar Tani Kelana Jaya diadakan selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa institusi kewangan turun padang bagi membantu peniaga kecil mendapatkan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, pasar tani bukan sekadar platform jualan, malah menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi setempat yang perlu terus diperkasakan.
“Agrobank tidak hanya menunggu pelanggan hadir ke cawangan, sebaliknya kami mahu mendekati peniaga di lokasi mereka berniaga, memahami keperluan dan menawarkan sokongan yang praktikal serta bersesuaian dengan skala perniagaan.
“Usaha ini penting bagi membantu penjaja mengurus aliran tunai, mengadaptasi pendigitalan dalam urusan perniagaan serta membina perniagaan yang lebih mampan,” jelas beliau.
Sementara itu, seorang peniaga ikan, Rosli Mohd Anuar, 52, berkata, pembiayaan yang disediakan Agrobank membantunya menampung modal perniagaan dan kos operasi yang semakin meningkat.

Amirul (kanan) dan Rosli.
Rosli yang sudah lebih 25 tahun berniaga ikan di pasar tani berkata, pembiayaan kira-kira RM30,000 yang diterimanya daripada Agrobank memberi kelegaan untuk menguruskan perniagaan.
Katanya, dana itu digunakan sebagai modal pusingan termasuk membeli stok ikan, membayar gaji pekerja dan menampung pelbagai kos operasi lain.
“Dalam keadaan kos semakin meningkat sekarang, pembiayaan seperti ini memang membantu peniaga kecil macam saya untuk terus bertahan,” jelasnya.
Rosli yang berasal dari Sungai Apong, Sabak Bernam berkata, meskipun pernah berdepan cabaran besar terutama ketika pandemik Covid-19, keadaan perniagaan kini semakin stabil.
“Ketika PKP (perintah kawalan keselamatan) memang teruk menyebabkan jualan merosot dan banyak perkara perlu ditanggung.
“Namun, keadaan kini semakin baik dan pembiayaan yang diterima membantu saya menampung keperluan perniagaan,” tambahnya.
Selain itu, katanya, struktur pembayaran balik pembiayaan yang ditawarkan juga tidak membebankan kerana tempohnya sehingga lima tahun dengan bayaran bulanan sekitar RM600.
“Perniagaan ini memerlukan modal besar kerana bekalan ikan perlu diperoleh setiap hari selain menanggung kos logistik dan operasi berterusan,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar harian hingga RM7,000 sehari bergantung kepada bekalan dan permintaan pelanggan.
Seorang peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), Amirul Hizzan Sakimat, 23, berkata, pembiayaan antara RM20,000 hingga RM30,000 yang diterimanya membantu meningkatkan kapasiti perniagaan serta memperluaskan rangkaian pemasaran produk keluaran syarikatnya.
Usahawan muda dari Sungai Pelek, Sepang itu memberitahu, sokongan pembiayaan kewangan itu membantunya mengembangkan perniagaan sehingga menembusi pasaran Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.
Amirul berkata, sebelum memperoleh pembiayaan, perkembangan perniagaannya terbatas kerana kekurangan modal.
Katanya, dana yang diterima membolehkannya menyertai pelbagai program promosi dan meneroka pasaran baharu di luar Semenanjung Malaysia.
“Jika tiada pembiayaan, agak sukar untuk saya mengembangkan perniagaan pada skala yang lebih besar kerana memerlukan kos yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, proses pembiayaan yang ditawarkan Agrobank juga memudahkan usahawan muda untuk mendapatkan modal perniagaan.
“Saya berpuas hati dengan pengurusan Agrobank kerana prosesnya jelas dan tidak mendatangkan masalah kepada pelanggan.



