Dallas: Teknologi kecerdasan buatan (AI) meramalkan Perancis dan Argentina sebagai dua pasukan pilihan untuk mara ke final Piala Dunia 2026, sekali gus mengulangi pertembungan epik pada final edisi 2022 di Qatar.
Ramalan itu dibuat berdasarkan analisis prestasi sepanjang kejohanan, tahap kecergasan pemain, ketiadaan tonggak utama serta keupayaan setiap pasukan mengharungi perlawanan berintensiti tinggi.
Sepanyol mara ke separuh akhir selepas menewaskan Austria 3-0, Portugal 1-0 dan Belgium 2-1 dengan mempamerkan aksi berpasukan yang mantap.
Corak permainan skuad itu bergantung kepada penguasaan bola, pergerakan dinamik jentera serangan serta tekanan berterusan yang mampu menghakis kekuatan lawan.
Perancis pula menyingkirkan Sweden, Paraguay dan Maghribi dengan kekuatan benteng pertahanan serta serangan pantas yang diterajui Kylian Mbappe.
Berdasarkan analisis AI, Perancis memiliki kelebihan tipis dalam aksi separuh akhir apabila diberi peluang 55 peratus untuk menang berbanding 45 peratus buat Sepanyol.
AI menjangkakan Sepanyol akan menguasai permainan menerusi penguasaan bola, namun Perancis lebih berbahaya menerusi serangan balas pantas dengan keputusan diramalkan memihak Les Bleus 2-1.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Argentina dijangka menewaskan England selepas melalui masa tambahan.
Juara bertahan itu mara selepas menyingkirkan Cape Verde, Mesir dan Switzerland dengan Lionel Messi terus menjadi watak utama, dibantu ketajaman penyudah Julian Alvarez serta Lautaro Martinez.
England pula menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Republik Demokratik Congo, Mexico dan Norway dengan Jude Bellingham menjadi pemain paling menyerlah.
Bagaimanapun, AI menilai England berdepan cabaran dari segi kecergasan pemain selain beberapa ketiadaan di bahagian pertahanan yang boleh menjejaskan peluang mereka.
Ramalan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit sebelum Argentina menang 2-1 pada masa tambahan.
AI memberikan Argentina peluang 58 peratus untuk mara ke final, manakala England hanya memiliki kebarangkalian 42 peratus.
Jika ramalan itu menjadi kenyataan, final Piala Dunia 2026 bakal menemukan semula Perancis dan Argentina dalam ulangan aksi penentuan kejuaraan di Qatar empat tahun lalu yang dianggap antara final terbaik dalam sejarah kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




