PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman menempah slot ke peringkat 16 terbaik pada Terbuka China di Shanghai, China, hari ini.
Aira yang menghuni ranking ke-26 dunia mudah menewaskan wakil tuan rumah, Liu Zi Yi 11-4, 11-4, 11-4 hanya dalam masa 19 minit pada peringkat 32 terbaik.
Baca juga: Bioinovasi tempatan tawar potensi pasaran RM8 juta
Anak jati Kedah berusia 22 tahun itu bakal berdepan ujian sebenar, esok, apabila dijadual bertemu pemain No. 16 dunia, Farida Mohamed dari Mesir.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa.
Selain Aira, kakaknya, Aifa dan Noor Ainaa Amani Ampandi turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.
Aifa mengalahkan Alina Bushma dari Ukraine 11-9, 11-7, 11-9 dalam masa 39 minit, manakala, Ainaa mengejutkan pemain No. 22 dunia dari Mesir, Kenzy Ayman 8-11, 10-12, 11-8, 12-10, 11-1 dalam masa 41 minit.
Baik Aifa mahupun Ainaa, kedua-duanya bakal mengharungi laluan sukar apabila masing-masing dijadual menentang pemain ke-14 dunia, Salma Hany dari Mesir dan bintang No. 7 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun.
Bintang No. 4 dunia, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow yang berada di ranking No. 16 dunia akan membuka aksi masing-masing, esok, selepas mendapat bye pada pusingan pertama. – UTUSAN
The post Aira tempah slot ke peringkat 16 terbaik appeared first on Utusan Malaysia.