Riyadh: Dana Pelaburan Awam (PIF) mengumumkan penjualan pegangan majoriti dalam kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, yang turut dibarisi penyerang Perancis, Karim Benzema.
PIF, yang juga memiliki kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United, menjual 70 peratus pegangan Al-Hilal kepada Kingdom Holding Company (KHC), syarikat milik Putera Alwaleed bin Talal, seorang ahli perniagaan bilionair dan anggota keluarga diraja Arab Saudi.
Perjanjian itu meletakkan nilai modal saham Al-Hilal sebanyak 1.4 bilion riyal Saudi ($373 juta) (RM1.75 bilion).
Penjualan itu berlaku ketika pelaburan PIF dalam LIV Golf menjadi perhatian, susulan laporan yang menyatakan kejohanan itu berdepan risiko ‘berkubur’ akibat kemungkinan penarikan dana dari Arab Saudi.
“Al-Hilal adalah simbol negara dan sumber kebanggaan rakyat Arab Saudi.
“Pengambilalihan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap kuasa sukan sebagai penyatu dan pemangkin pembangunan negara.
“Dengan mengaplikasikan standard pelaburan global serta membina kerjasama strategik, kami akan membuka potensi penuh Al-Hilal sambil mengekalkan sejarah dan identitinya,” kata Alwaleed dalam satu kenyataan.
PIF, dana awam yang diuruskan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, memperoleh pegangan majoriti dalam kelab berpangkalan di Riyadh itu pada 2023 bersama tiga lagi pasukan liga Saudi iaitu Al-Nassr (dibarisi Cristiano Ronaldo), Al-Ahli dan Al-Ittihad sebagai sebahagian dasar pelaburan sukan negara itu.
Suntikan dana itu membolehkan Al-Hilal menarik ramai pemain luar negara, termasuk bintang Brazil Neymar sebelum meninggalkan kelab itu pada Januari 2025.
Benzema menyertai Al-Hilal baru-baru ini selepas menamatkan kontrak bersama Al-Ittihad.
“Penjualan ini selari dengan strategi PIF untuk memaksimumkan pulangan dan menyalurkan semula modal dalam ekonomi domestik.
“Strategi ini menyokong usaha lebih luas PIF dalam memacu pembangunan dan kepelbagaian ekonomi Arab Saudi.
“PIF membuka peluang untuk memberi impak besar dalam sektor sukan negara serta menghasilkan manfaat jangka panjang yang positif,” menurut kenyataan PIF.
PIF turut memaklumkan pihaknya sudah menerajui transformasi Al-Hilal dengan memperkasakan kelab itu untuk mencapai peningkatan nilai yang ketara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




