syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: “Bayar RM200 sehari, minyak kereta pun tak lepas,” luah pelakon dan pengacara, Nadzmi Adhwa apabila mendedahkan terdapat syarikat produksi yang menawarkan bayaran tidak masuk akal kepadanya.
Nadzmi, 34, berkata meskipun minat dan jiwanya amat mendalam terhadap bidang lakonan, bayaran yang ditawarkan perlu setimpal dengan komitmen penuh yang diberikan oleh seseorang pelakon di lokasi penggambaran.
“Bukanlah saya memilih dari segi duit, tidak. Berlakon ini memang minat dan jiwa saya.
“Tapi bila tawarkan RM200 sehari, saya rasa duit minyak kereta pun tak lepas sedangkan kita akan berikan komitmen sepenuhnya,” katanya.
Katranya, dia dan isteri yang juga pelakon, Ardell Aryana tidak pernah meletakkan syarat atau harga tinggi jika ada pihak ingin mengambil mereka berlakon semula.
Mengulas lanjut mengenai status kerjaya seni, Nadzmi menegaskan mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhenti daripada bidang lakonan.
“Kami memang fokus perniagaan, tetapi sekarang perniagaan kami sudah stabil. Jadi kalau tiada penggambaran, hari-hari kami akan berniaga produk mi kari,” katanya.
Dalam pada itu, Nadzmi meluahkan rasa syukur apabila rezekinya dalam bidang pengacaraan berjalan lancar apabila terpilih mengendalikan acara Sukan Malaysia (SUKMA) tidak lama lagi.
“Untuk pengacaraan majlis SUKMA, Alhamdulillah yang itu saya dapat. Dalam minggu depan, insya-Allah sudah mula mengacara untuk SUKMA,” kongsinya gembira.
© New Straits Times Press (M) Bhd




