Beatrice umum hamil, rehat semusim 2026

Beatrice umum hamil, rehat semusim 2026

Paris: Juara Olimpik 5,000 dan 10,000 meter (m), Beatrice Chebet, mengumumkan dirinya hamil dan akan berehat sepenuhnya daripada pertandingan sepanjang musim 2026.

Pemegang rekod dunia 5,000m dan 10,000m itu memberitahu Nation Sport bahawa selepas melalui musim padat pada 2024 dan 2025, dia memilih untuk berehat dan menumpukan kepada fasa baharu sebagai seorang ibu.

Beatrice, juara Dunia Larian Merentas Desa dua kali, memenangi pingat emas acara 5,000m dan 10,000m pada Sukan Olimpik Paris, selain memecahkan rekod dunia 10,000m dengan catatan 28:54.14 saat (s) ketika menjuarai perlumbaan di Kejohanan Prefontaine Classic.

“Saya benar-benar memaksa diri ke tahap maksimum sepanjang dua tahun lalu, dan tahun ini saya rasa lebih bijak untuk berehat, pulih sepenuhnya, dan pada masa sama menjadi seorang ibu,” kata Beatrice.

Sebelum mengesahkan berita itu secara rasmi kepada Nation Sport, Beatrice turut memaklumkan dia tidak akan beraksi pada Kejohanan Dunia Larian Merentas Desa Olahraga 2026.

“Dua tahun kebelakangan ini sangat luar biasa buat kami, setiap sasaran dan impian tercapai. Malangnya saya tidak dapat mempertahankan gelaran dunia di @worldxcchampionships. Hati kami penuh dan tidak sabar menantikan fasa baharu kehidupan ini… jumpa lagi pada 2027!” katanya.

Ramai atlet berjaya kembali ke tahap elit selepas melahirkan anak, termasuk rakan senegara Kenya, Faith Kipyegon, yang mencatat kejayaan lebih gemilang selepas bergelar ibu.

Faith Kipyegon, yang menjadi ibu pada 2018, kini memegang rekod dunia 1,500m (3:48.68) selain rekod Afrika bagi acara 1,000m dan 3,000m.

Ketiadaan Beatrice pasti dirasai pada Kejohanan Dunia Larian Merentas Desa 2026 di Tallahassee, Florida, pada 11 Januari, apabila ramai menganggapnya calon utama walaupun dia tidak menyertai pemilihan kebangsaan Kenya.

Atlet berusia 25 tahun itu membina karier cemerlang dengan memenangi gelaran dunia kategori senior berturut-turut di Bathurst (2023) dan Belgrade (2024), selain gelaran bawah 20 tahun di Aarhus pada 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top