Boko Haram culik 42 pelajar dalam serangan di Nigeria

Boko Haram culik 42 pelajar dalam serangan di Nigeria
Boko Haram culik 42 pelajar dalam serangan di Nigeria

Boko Haram telah melancarkan serangan di Nigeria sejak awal tahun 2000 lagi.

ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 42 pelajar diculik dalam serangan kumpulan Boko Haram di negeri Borno, timur laut Nigeria, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik seorang senator Nigeria pada Sabtu.

Ali Ndume yang mewakili Borno South di Perhimpunan Kebangsaan berkata, pelajar berkenaan diculik semasa serangan terhadap sebuah sekolah di kawasan Askira-Uba pada 15 Mei lepas.

Business Day Nigeria melaporkan bahawa serangan itu menyasarkan sebuah sekolah menengah harian kerajaan di kampung Mussa, apabila penyerang bersenjata dilaporkan menyerbu kawasan itu ketika sesi pembelajaran awal pagi.

Ali berkata, insiden itu menyebabkan ramai ibu bapa dan penjaga berasa amat sedih serta trauma.

Beliau turut merayu kepada agensi keselamatan, khususnya Tentera Nigeria, supaya memperhebat usaha menyelamatkan pelajar yang diculik.

Boko Haram telah melancarkan serangan di Nigeria sejak awal tahun 2000-an, dengan puluhan ribu terkorban dalam keganasan berskala besar sejak 2009.

Kerajaan Nigeria telah mengambil langkah menangani ancaman itu, termasuk mengerahkan tentera dan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa. – Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top