Bunuh guna pedang: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 36 tahun, 12 sebatan 5 lelaki

Bunuh guna pedang: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 36 tahun, 12 sebatan 5 lelaki

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan terhadap lima lelaki termasuk dua pasangan adik-beradik kerana membunuh seorang lelaki dengan menetaknya dengan pedang.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan kesemua perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 9 Mei 2024.

Mereka ialah Aizz Amidie Aziz, 32, dan pasangan adik-beradik Mohd Rizalman Awang, 36, dan abangnya Zahaman Fairol, 39, serta Mohd Uwais Mat Nawi, 31, dan adiknya Mohd Hafify, 30.

Kelima-lima tertuduh didapati bersalah membunuh Mohd Shahrulanuar Dek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 petang hingga 8.30 malam pada 21 Jun 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hakim Azman dalam penghakimannya berkata rayuan kesemua perayu tidak mempunyai merit dan mahkamah mendapati keterangan saksi pendakwaan termasuk saksi terlindung bahawa kesemua perayu telah menetak si mati adalah konsisten.

Beliau berkata saksi terlindung pertama yang merupakan saksi mata yang bersembunyi dalam semak-samun semasa kejadian itu berlaku telah menjelaskan secara terperinci apa terjadi.

“Keengganan saksi itu untuk menjawab beberapa soalan yang dikhuatiri mendedahkan identitinya sama sekali tidak menjejaskan kes pendakwaan. Hakim bicara juga berpuas hati bahawa keterangan saksi itu berhubung kejadian bunuh turut disokong oleh saksi-saksi pendakwaan lain.

“Ini jelas menunjukkan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan itu adalah keterangan yang benar dan berjaya meyakinkan mahkamah ini akan episod serta insiden tragis yang berlaku,” katanya.

Menurut Hakim Azman, hakim bicara telah meneliti keseluruhan pembelaan perayu dan mendapati pembelaan mereka bahawa individu lain yang menetak mangsa adalah ‘afterthought’ (pemikiran terkemudian).

“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kesemua perayu telah gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Justeru, tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu dapatan oleh hakim bicara,” katanya.

Aizz Amidie, Mohd Rizalman dan Zahaman Fairol diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Julai 2017, manakala Mohd Uwais dan Mohd Hafify pada 11 Ogos tahun sama.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara kepada 30 tahun bermula dari tarikh tangkap, namun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim memohon hukuman dikekalkan untuk memberikan mesej kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

Media sebelum ini melaporkan mangsa maut ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di kampung berkenaan ekoran perselisihan faham mengenai kes membakar motosikal milik anggota keluarga seorang daripada lelaki berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top