NIBONG TEBAL : Polis mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung kejadian cubaan bunuh menggunakan senjata api di kawasan perniagaan Seri Tambun di sini, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan yang berusia 37 tahun.
Katanya, lelaki yang cedera pada bahagian lengan kanan akibat terkena tembakan dalam kejadian itu kemudian segera dikejarkan Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
“Susulan kejadian, polis telah menjumpai beberapa bahan bukti di lokasi bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, polis sedang meneliti semua sudut dalam menjalankan siasatan ini,” katanya di sini, hari ini.
Jay berkata, ketika ini, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohd. Rizal Abd. Rashid di talian 019-8282212 atau datang ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas membeli barang di sebuah kedai sebelum ditembak oleh seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai memakai topeng.-UTUSAN




