Petronas tidak urus penjualan tiket F1 di Sepang

Petronas tidak urus penjualan tiket F1 di Sepang

KUALA LUMPUR – Petronas tidak menguruskan, mengawal atau mempunyai akses terhadap peruntukan, penjualan mahupun pengedaran tiket perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain memandangkan pihaknya bukan penganjur acara tersebut.

Petronas dalam satu kenyataan ringkas berkata, penjualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh pihak penganjur acara menerusi saluran rasmi sahaja.

“Kami menghargai keterujaan orang ramai terhadap perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan.

“Walaupun syarikat memegang hak penamaan SIC, litar tersebut dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya pada Isnin.

Malaysia secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain.

Pengumuman itu dibuat F1 menerusi laman sesawang rasminya pada Ahad dengan perlumbaan melibatkan Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.

Perjanjian dicapai antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Malaysia membolehkan Grand Prix diteruskan dengan baki jadual perlumbaan musim 2026 kekal tidak berubah.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen sepenuhnya kepulangan F1 ke SIC selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefani Domenicali.

Beliau menzahirkan penghargaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran F1 tahun ini.

Scroll to Top