am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun hingga mengalami lebam pada muka dan beberapa bahagian badan.
Bapa mangsa, Shamsul Azrin Man, 45, berkata kejadian hanya diketahui selepas dia mengambil anak tunggalnya pulang bercuti dari sebuah maahad tahfiz di sini pada 30 Julai lalu.
Katanya, anaknya yang tinggal di asrama sejak awal tahun ini pada mulanya mendakwa lebam di muka itu akibat terjatuh.
“Saya dan isteri ternampak lebam pada bahagian kiri muka dan pada awalnya anak mengaku terjatuh tetapi selepas ditanya berkali-kali, anak mengaku dia ditumbuk pelajar senior sehari sebelum itu ketika mengelap meja makan di kantin.
“Anak juga beritahu dia ditendang di bahagian belakang sehingga lebam. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya terus menghubungi seorang ustaz di maahad itu, namun dia memaklumkan tidak mengetahui tentang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Shamsul Azrin berkata, dia dan isteri kemudian membuat laporan polis sebelum membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan di hospital.
“Pemeriksaan mendapati anak saya mengalami lebam, namun tiada kecederaan serius seperti patah tulang. Cuma, anak saya kini trauma dan tidak mahu lagi bersekolah di situ.
“Saya sedih sebab anak saya sendiri yang minta belajar di situ kerana mahu menjadi ustaz. Tidak sangka akan jadi macam itu dan saya bersyukur dia masih bersemangat untuk menjadi seorang ustaz,” katanya.
Shamsul Azrin berkata dia akan menukar anaknya ke sekolah agama lain bagi mengelak kejadian yang sama berulang.
Katanya, dia sebelum ini pernah melihat lebam pada badan serta benjol di kepala anaknya namun tidak menyangka kecederaan itu berpunca daripada perbuatan buli.
“Selepas ditanya, anak beritahu bahawa dia pernah ditumbuk, disepak dan kepalanya ditekan pada tangga oleh pelajar terbabit.
“Dia tidak melawan kerana takut dan dia juga beritahu, ada rakan yang bantu tuamkan dahinya yang benjol,” dakwanya.
Katanya, dia dan isteri turut kesal apabila anak mereka kini tidak lagi bersekolah selepas pihak sekolah didakwa memberhentikannya susulan kejadian itu dengan alasan tidak mahu perkara sama berulang.
“Kita difahamkan, polis menyiasat perkara ini dan pelaku telah dipanggil untuk siasatan.
“Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan menggantung sekolah ke atas pelaku,” katanya.
Tambahnya, dia berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihaknya sudah merekodkan keterangan pelaku.
“Kes ini kami cuma menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
