norhayati_nordin@hmetro.com.my
Shah Alam: Penangguhan prosiding kes komital membabitkan penyanyi Nubhan Ahamad di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini dibuat atas permintaan peguam defendan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie.
Peguam syarie, Mohd Redzuan Ramli yang mewakili Nubhan menjelaskan keputusan penangguhan kes ke tarikh baharu pada tahun depan bukan disebabkan prosedur pihaknya tidak lengkap, sebaliknya mendakwa pihak defendan tidak bersedia.
“Sebenarnya bukan prosedur (plaintif) yang tidak lengkap, tetapi pihak di sana (defendan) tidak bersedia. Jadi, dia (peguam mewakili Dr Fie) minta kita buat secara kemukakan soalan dulu kepada mereka, seperti formaliti kes biasa.
“Cuma kes ini pula disiasat dalam kes komital dan tidak perlu prosedur formaliti biasa. Mahkamah boleh tanya pada hari sama ketika prosiding kes berlangsung. Jadi, bila datang hari ini ke mahkamah, terus boleh buat siasatan,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Mohd Redzuan ditemui di perkarangan mahkamah selepas selesai prosiding kali kedua kes komital itu di mana prosiding pertama berlangsung pada 5 Mei lalu.
Dr Fie hadir dengan ditemani peguam syarie Nor Hazura Hamzah.
Ditanya mengenai 120 soalan yang didakwa Dr Fie akan ditanya kepadanya, Mohd Redzuan berkata, defendan dipercayai sudah melanggar tiga perintah mahkamah berhubung kenyataan di media sosial yang disifatkan fitnah.
“Memandangkan ada tiga pelanggaran perintah yang didapati dilakukan defendan, maka ada 40 soalan perlu dijawab bagi setiap pelanggaran yang keseluruhannya sebanyak 120 soalan.
“Jumlah soalan yang dikemukakan ini adalah sebahagian daripada proses soal balas dan setiap soalan diajukan perlu mempunyai kaitan serta relevan dengan kes. Tetapi, pihak sana (defendan) tidak bersedia.
“Mereka (defendan) yang minta mahkamah tangguhkan prosiding hari ini agar pihak kami menyerahkan soalan terlebih dulu sebelum prosiding akan datang pada tahun depan,” katanya.
Mohd Redzuan turut menegaskan jumlah soalan itu sebenarnya bukan bertujuan menekan atau menakutkan Dr Fie selaku defendan dalam kes komital berkenaan.
Menurutnya, penangguhan prosiding kes komital berkenaan sebenarnya boleh memberi risiko kepada pihak Dr Fie.
© New Straits Times Press (M) Bhd

