DAP restu Aminuddin terus jadi Menteri Besar

DAP restu Aminuddin terus jadi Menteri Besar

SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan menyokong Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Naib Presiden PKR itu juga bukan saja menunjukkan prestasi yang baik, malah bebas daripada sebarang perbuatan salah laku.

“1 Ogos akan datang, kita nak Tok Min (Aminuddin) kembali menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar. Beliau sudah menjadi Menteri Besar selama lapan tahun.

“Ada pernah dengar beliau ambil tanah? Ada pernah dengar dalam akaun bank beliau ada berpuluh juta? Ada pernah dengar beliau salah guna kuasa?” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di sini, Jumaat.

Tegas Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu, sekiranya Aminuddin didapati melakukan apa-apa kesalahan, beliau dari awal lagi akan menolaknya.

Namun katanya, setakat ini Aminuddin menunjukkan trek rekod yang bersih, malah sentiasa memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Kalau beliau rasuah atau salah guna kuasa, kita juga akan jatuhkan beliau. Tapi Tok Min, seorang Menteri Besar yang bersih, yang pro-rakyat dan menjaga kebajikan rakyat Negeri Sembilan.

“Jadi, kita sokong Tok Min sebagai Menteri Besar dan 11 undi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP akan menyokong Tok Min sebagai Menteri Besar,” katanya.

Berkenaan soal kerusi pula, beliau menjelaskan bahawa DAP tidak tamak untuk menuntut lebih banyak kerusi pada PRN ini.

Ujarnya, seperti mana PRN sebelum ini, DAP akan terus mempertahankan 11 kerusi penyandang yang dimenangi.

“Malam ini saya nak isytiharkan, DAP tidak tamak, kita hanya pertahan 11 kerusi penyandang kita.

“Saya tak perlu berunding pun dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Kita tak minta tambahan kerusi pun, lebihan kerusi lain, itu antara Amanah dan PKR, selesaikan…saya tidak mahu campur,” katanya.

Scroll to Top