De la Fuente kritik sikap pemain Argentina

De la Fuente kritik sikap pemain Argentina

Madrid: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan tindakan beberapa pemain dan anggota barisan kejurulatihan Argentina selepas kekalahan di final Piala Dunia sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beberapa pemain dan pegawai Argentina dilaporkan bersemuka dengan pemain Sepanyol sejurus wisel penamat aksi final Isnin lalu di New York yang menyaksikan Sepanyol menang 1-0 selepas masa tambahan.

Antara pemain Argentina yang terbabit dalam insiden itu ialah pertahanan Atletico Madrid, Nahuel Molina, dan bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG), Leandro Paredes.

“Ketika itu saya tidak menyedarinya. Saya sedang meraikan kemenangan dan memeluk pemain,” kata De la Fuente kepada televisyen Sepanyol.

“Namun apa juga keadaannya, tindakan itu tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya berlaku. Mereka adalah pemain bertaraf tinggi yang saya puji sebelum perlawanan dan masih saya hormati sehingga hari ini. Mereka juga mempunyai jurulatih yang hebat. Saya pasti mereka sendiri berasa kecewa melihat reaksi sedemikian.”

De la Fuente turut memuji sikap profesional yang ditunjukkan anak buahnya ketika berdepan tindakan agresif dan provokasi daripada pihak lawan, yang menurutnya berpotensi mencetuskan insiden lebih serius.

Walaupun rakaman insiden itu tular di media sosial, setakat ini tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap pemain Argentina yang terbabit.

Bagaimanapun, FIFA sudah membuka siasatan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap kod disiplin badan induk bola sepak dunia itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top