London: Newcastle United terus memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu apabila mengumumkan kehadiran pemain tengah muda AS Monaco, Aladji Bamba, dengan kontrak selama lima tahun.
Menurut laporan media Britain, Newcastle membayar yuran perpindahan awal sebanyak £30 juta (RM171 juta) tidak termasuk bayaran tambahan bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 20 tahun itu.
Bamba yang juga produk akademi Monaco membuat penampilan sulung bersama skuad utama kelab Ligue 1 itu tahun lalu sebelum tampil dalam 25 perlawanan musim lalu.
Antara aksi paling mencuri perhatian ialah apabila dia beraksi dalam kedua-dua perlawanan playoff fasa kalah mati Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain.
Pemain muda itu mengakui tidak sabar untuk menguji kemampuannya di Liga Perdana Inggeris yang dianggap sebagai liga terbaik dunia.
“Saya teruja untuk menguji diri di liga baharu, liga terbaik di dunia.
“Saya belajar banyak perkara musim lalu dan kini saya rasa sudah bersedia untuk peluang baharu ini. Saya akan memberikan segala-galanya untuk kelab ini,” katanya.
Kehadiran Bamba dijangka menambah pilihan di bahagian tengah Newcastle yang mahu memperkukuhkan skuad bagi menghadapi saingan domestik dan Eropah musim ini.
Perpindahan itu turut mencerminkan pendekatan Newcastle yang terus memberi tumpuan kepada pemain muda berpotensi tinggi sebagai pelaburan jangka panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




