Djokovic tarik diri dari kejohanan pemanas badan

Djokovic tarik diri dari kejohanan pemanas badan

Sydney: Novak Djokovic menarik diri daripada kejohanan pemanas badan Terbuka Australia di Adelaide minggu depan bagi memberi tumpuan penuh untuk berada pada tahap terbaik menjelang Grand Slam pertama musim ini di Melbourne Park.

Juara 24 gelaran Grand Slam itu membuat pengumuman berkenaan menerusi satu kenyataan di media sosial, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penyertaannya di kejohanan berkenaan.

“Kepada semua penyokong saya di Adelaide, malangnya saya masih belum cukup bersedia dari segi fizikal untuk beraksi di Adelaide International minggu depan,” kata pemain Serbia berusia 38 tahun itu.

Djokovic mengakui keputusan berkenaan amat mengecewakannya secara peribadi memandangkan kejohanan itu menyimpan kenangan manis buat dirinya.

“Ia sangat mengecewakan bagi saya kerana saya mempunyai memori indah memenangi gelaran di sana,” katanya yang muncul juara Adelaide International pada 2023.

Menurut Djokovic, fokus utamanya kini adalah memastikan persiapan rapi menjelang Terbuka Australia yang menjadi sasaran utama awal musim ini.

“Tumpuan saya sekarang adalah persiapan ke Terbuka Australia dan saya tidak sabar untuk tiba di Melbourne tidak lama lagi serta bertemu peminat tenis di Australia,” katanya.

Djokovic bakal memburu kejuaraan ke 11 Terbuka Australia dan gelaran Grand Slam ke 25 dalam kariernya, yang akan mengukuhkan lagi statusnya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah tenis lelaki.

Terbuka Australia dijadual berlangsung dari 18 Januari hingga 1 Februari di Melbourne Park, dengan Djokovic kekal sebagai antara tumpuan utama meskipun terlepas aksi pemanas badan di Adelaide.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top