SHAH ALAM – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek melakukan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin 2, Kajang kerana tidak mahu pihak sekolah sibuk membuat persiapan menyambut kedatangannya.Fadhlina berkata, beliau mahu pihak sekolah memberikan tumpuan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memulakan peperiksaan bertulis pada Isnin.”Saya sengaja tidak memaklumkan lawatan ini lebih awal. Nak lihat sendiri keadaan sebenar di sekolah dan memastikan segala persiapan berjalan baik.”Paling saya nantikan, dapat bertemu anak-anak sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.Dalam perkongsian sama, Fadhlina meluahkan rasa syukur apabila mendapati urusan peperiksaan berjalan lancar selain merakamkan penghargaan kepada guru dan petugas peperiksaan.Beliau turut menitipkan pesanan kepada calon supaya yakin dengan usaha yang telah dilakukan sepanjang tempoh persediaan.”Buat anak-anak, saya tahu bermacam-macam perasaan bermain di fikiran pagi ini. Saya cuma nak pesan, jangan terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Percayalah pada segala usaha yang telah kalian lakukan selama ini.”Selamat maju jaya, anak-anak! Hari ini giliran kalian berusaha, kami di luar ini tidak putus-putus mendoakan,” katanya.Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 420,879 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember.
Fadhlina buat lawatan mengejut ke sekolah, mahu calon fokus SPM
Malay News | https://www.malay.news/fadhlina-buat-lawatan-mengejut-ke-sekolah-mahu-calon-fokus-spm/