Sao Paulo: Pemain baharu Santos, Gabriel ‘Gabigol’ Barbosa menyatakan hasrat untuk membantu Neymar kembali meraih tempat dalam skuad Piala Dunia Brazil.
Gabigol, 29, baru-baru ini kembali menyertai kelab Vila Belmiro itu secara pinjaman daripada Cruzeiro sehingga akhir musim, dan bakal bergandingan bersama Neymar di jentera serangan Santos.
Neymar pula menandatangani lanjutan kontrak bersama Santos sehingga penghujung 2026 awal minggu ini.
Bintang itu kini berusaha meyakinkan ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, bahawa dia telah pulih sepenuhnya dan layak dipilih ke Piala Dunia.
“Semua orang tahu Neymar adalah idola dan juga sahabat saya,” kata Gabigol ketika majlis pengenalannya.
“Saya pernah bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan. Kami sangat gembira ketika itu. Saya mahu membantunya kembali berada pada tahap 100 peratus. Kami memerlukannya untuk Piala Dunia dan juga untuk membantu Santos bersaing merebut kejuaraan.”
Neymar menjalani pembedahan kecil pada lutut kirinya pada 22 Disember, tidak lama selepas membantu Santos mengelakkan penyingkiran.
Dia sebelum ini mengalami kecederaan ACL dan meniskus pada lutut yang sama pada Oktober 2023 ketika bertugas bersama pasukan kebangsaan Brazil, dan sejak itu bergelut dengan masalah kecergasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




