PETALING JAYA: Impian pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum menjadi kenyataan apabila proses naturalisasinya dilaporkan masih menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ketika skuad kebangsaan berdepan kekangan pemain dalam kempen Piala ASEAN kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA, nama Gallifuoco antara yang sering disebut mampu memperkukuhkan benteng pertahanan negara.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Australia itu menjelaskan proses berkenaan masih belum dapat diteruskan selagi pihak berkaitan tidak menerima surat rasmi daripada FIFA berhubung status kelayakannya.
“Setakat yang dimaklumkan kepada saya, kami masih menunggu surat daripada FIFA sebelum proses ini boleh diteruskan.
“Buat masa ini, ia di luar kawalan saya. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah berdoa, bersabar dan terus bekerja keras untuk menjadi pemain terbaik buat rakan sepasukan serta kelab saya. Saya harap semuanya dapat diselesaikan,” katanya.
Gallifuoco, 32, turut mengakui Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya selepas menghabiskan sebahagian besar karier profesionalnya di negara ini sejak menyertai KL City pada 2021.
“Malaysia adalah rumah saya, masa kini dan masa depan saya. Malah, peluang untuk melalui proses ini sendiri sudah cukup merendah diri saya dan saya amat bersyukur,” ujarnya.
Sejak tiba di Liga Malaysia, Gallifuoco muncul antara pemain import paling berpengaruh apabila membantu KL City menjuarai Piala Malaysia 2021 menerusi kemenangan 2-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain itu, pertahanan berpengalaman tersebut turut memainkan peranan penting membawa KL City mara ke final antara Zon Piala AFC 2022 sebelum tewas kepada wakil Oman, Al Seeb.
Difahamkan, Gallifuoco telah memenuhi syarat menetap selama lima tahun yang ditetapkan FIFA sejak awal tahun ini, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih perlu melengkapkan beberapa proses dokumentasi sebelum badan induk dunia itu membuat keputusan muktamad.
Selain Gallifuoco, beberapa pemain lain seperti Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez turut dikaitkan dengan peluang mewakili Malaysia, namun status kelayakan mereka juga masih belum dimuktamadkan. – UTUSAN




