sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC mempamerkan persembahan yang baik dalam aksi sulung Liga Super 2026/2027 yang menyaksikan skuad Sang Badak itu menewaskan Star City FC 3-1 di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Pengendalinya, Juan Torres Garrido, menyifatkannya sebagai permulaan yang positif dalam usaha menarik sokongan peminat bola sepak di Sabah untuk menyaksikan perlawanan pasukan negeri mereka, khususnya apabila bermain di Likas.
Katanya, perlawanan malam tadi bukan saja mencapai sasaran mengutip tiga mata pada perlawanan pertama Liga Super musim ini, malah berjaya memberikan persembahan yang menarik kepada peminat yang datang ke stadium.
“Kita gembira kerana dapat mencapai apa yang kita mahu, iaitu mendapat tiga mata pada perlawanan ini dan bagi saya ia satu permainan yang baik di gelanggang sendiri.
“Ia satu permulaan yang bagus dan kita mahu menarik lebih ramai lagi penyokong serta peminat bola sepak ke Stadium Likas pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Katanya, penampilan ramai pemain baharu dengan permainan yang menarik membuatkan lebih 4,000 penyokong dan penonton di Stadium Likas malam tadi menyukai persembahan mereka.
Sementara itu, Garrido berkata perlawanan malam tadi juga penting bagi menilai kekuatan dan kelemahan pasukan, terutama dalam mencipta peluang dan menghalang kemaraan pihak lawan.
Katanya, perlawanan malam tadi menyaksikan gawang Sabah FC dibolosi melalui situasi bola mati dari sepakan sudut, selain turut berdepan beberapa situasi berbahaya menerusi sepakan percuma yang diberikan kepada pasukan lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
