Rezeki buat ibu di Pantai Klebang dan Jonker Walk

am@hmetro.com.my

Melaka: Ketika ramai memilih Pantai Klebang dan Jalan Jonker sebagai lokasi merakam kenangan, seorang jurugambar wanita menjadikan kawasan tumpuan itu sebagai medan mencari rezeki tambahan demi membantu keluarganya.

Fatihah Nurul Affikah Nurul Amri, 30, tidak menyangka kemahiran dalam bidang fotografi yang dipelajarinya secara sendiri kini menjadi sumber pendapatan bagi membantu menampung kos rawatan ibunya yang menghidap kanser payudara.

Fatihah berkata, ibunya, Zainun Ismail, 53, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak Mac tahun lalu, dengan kos rawatan yang perlu ditanggung mencecah hampir RM70,000 seperti dimaklumkan pihak hospital pada Julai lalu.

Menurutnya, tanggungjawab terhadap keluarga semakin besar selepas bapanya, Nurul Amri Bono, 60, mengalami strok sejak Oktober 2023 dan kini mengalami masalah mudah lupa.

“Saya anak sulung daripada tiga beradik dan disebabkan keadaan ayah, saya perlu bantu tanggung keluarga sepenuhnya dan cuba buat apa yang termampu.

“Apabila tahu kos rawatan mak hampir RM70,000, saya mula fikir bagaimana hendak tambah pendapatan untuk membantu keluarga dengan gaji bulanan sahaja memang tak mencukupi,” katanya yang menetap di Selangor.

Menurutnya, bekerja sebagai jurugambar sepenuh masa bagi majlis perkahwinan, manakala bidang fotografi pula dipelajari secara sendiri selain mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang turut berkecimpung dalam bidang itu.

Fatihah yang sebelum ini mengikuti pengajian Diploma in English Communication di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Pahang berkata, dia turut mendapat pendedahan berkaitan media ketika zaman belajar yang sedikit sebanyak membantu dalam menghasilkan karya fotografi.

Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai lokasi fotografi kerana menerima sambutan baik daripada orang ramai terhadap lokasi menarik di negeri itu sekali gus mendorongnya menawarkan pakej khas berkenaan.

Katanya, promosi fotografi pada harga RM150 itu diperkenalkan bagi pelanggan yang mahukan sesi bergambar ringkas tanpa mengambil masa lama.

“Setiap pakej hanya mengambil masa lebih kurang 20 hingga 40 minit sahaja.

“Disebabkan masa yang tak lama ramai pelanggan memilih sesi 20 minit sepanjang dua hari saya buat fotografi di negeri ini,” katanya.

Jelas Fatihah, sambutan diterima bukan sahaja daripada penduduk tempatan malah pelanggan dari luar Melaka turut datang mendapatkan khidmatnya.

Menurutnya, pengalaman menjalankan sesi fotografi di Pantai Klebang baru-baru ini turut meninggalkan kenangan apabila peniaga ATV di kawasan itu menawarkan meja dan kerusi sementara dia menunggu pelanggan seterusnya.

Fatihah berkata, setiap gambar yang dirakam kini membawa makna lebih besar kerana hasil daripada usaha itu dapat membantu meringankan beban keluarga.

“Saya cuma mahu mudahkan keluarga, bantu mana yang patut.

“Harap Allah izinkan satu hari nanti saya dapat sediakan rumah untuk keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top