JAKARTA – Gempa bumi bermagnitud 6.4 menggegar wilayah Sumatera Utara, Indonesia pada petang Sabtu, dengan pihak berkuasa mengesahkan tiada ancaman tsunami.
Kejadian gempa bumi itu berlaku beberapa jam selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 magnitud melanda Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Wijayanto berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 5.54 petang Waktu Indonesia Barat, dengan pusat gempa berada di darat kira-kira 11 kilometer di tenggara Simalungun pada kedalaman 168 km.
Tiada kejutan lanjur dikesan setakat jam 6.16 petang waktu tempatan, katanya.
“Berdasarkan lokasi pusat gempa dan kedalaman hipopusat, ia merupakan gempa bumi kedalaman sederhana yang berpunca daripada aktiviti benam plat tektonik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wijayanto berkata, gegaran dirasai secara kuat di beberapa kawasan di Sumatera Utara, termasuk Tebingtinggi, Kabanjahe dan Limapuluh.
Beliau menasihatkan penduduk supaya bertenang, mengabaikan maklumat daripada sumber yang tidak disahkan dan menjauhi bangunan yang retak atau rosak akibat gempa bumi berkenaan.
Awal pagi Sabtu, gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda berhampiran Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur pada jam 4.58 pagi waktu tempatan, mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya ditarik balik oleh BMKG pada jam 7.31 pagi selepas pemantauan paras laut tidak menunjukkan sebarang peningkatan selanjutnya yang ketara.
Media melaporkan gempa bumi serta beberapa kejutan lanjur yang kuat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang, manakala kira-kira 2,000 penduduk berpindah dari rumah masing-masing susulan bencana berkenaan. – Bernama