Gout Gout sasar atasi 10s

Gout Gout sasar atasi 10s

Melbourne: Jaguh pecut remaja Gout Gout dijangka sekali lagi mencuri tumpuan pada Kejohanan Remaja Australia di Brisbane esok selepas kemenangan luar biasanya dalam acara 200 meter minggu lalu.

Atlet berusia 18 tahun itu menjadi tajuk utama dunia pada Kejohanan Senior Australia di Sydney Ahad lalu apabila merangkul gelaran 200m dengan catatan 19.67 saat, sekali gus rekod dunia bawah 20 tahun.

Sasaran terdekat Gout adalah memecahkan halangan 10 saat dalam acara 100 meter esok di Queensland Sport and Athletics Centre (QSAC) pada separuh akhir dan final selepas mencatat masa 10.19 saat dalam saringan, hari ini.

Hanya dua pelari Australia pernah melakukannya sebelum ini: pemegang rekod kebangsaan Patrick Johnson (9.93s) dan Lachlan Kennedy yang mencatat rekod peribadi 9.96s sebanyak dua kali di kejohanan senior.

Gout mencatat masa terbaik peribadinya 10 saat pada Februari lalu di trek QSAC yang sama dan yakin mampu memperbaharuinya.

“100%,” katanya kepada wartawan hari ini. “Harap angin kekal tenang dan apa saja boleh berlaku.”

Johnson yang mencatat 9.93 saat di Mito pada 2003, mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada Gout pada usia muda, namun bersedia melihat rekod kebangsaannya dipecahkan.

“Ya, saya orang pertama (memecahkan 10 saat), tapi saya tak mahu jadi orang terakhir,” kata Johnson kepada media tempatan minggu ini.

“Saya selalu cakap kepada mereka, rekod saya memang untuk dipecahkan. Cipta sejarah dan realiti kamu sendiri.”

Gout juga berpeluang memperbaiki rekod kebangsaan 200 meter miliknya apabila pusingan awal bermula Ahad ini.

Setiap peningkatan prestasi Gout sering mencetuskan kegilaan media di Australia dan perbandingan dengan larian legenda Usain Bolt ketika usia remaja, namun masih ada dalam dunia olahraga yang belum benar-benar yakin dengannya.

Bekas juara Olimpik dan dunia 100m Justin Gatlin berkata Gout sudah biasa berlari di Australia dan perlu membuktikan diri di luar negara.

“Anda boleh berlari laju dalam zon selesa. Semua orang boleh laju dalam zon selesa. Tapi bolehkah anda laju dalam keadaan tidak selesa? Itu ukuran sebenar,” kata Gatlin minggu ini.

“Itu akan jadi cabaran untuknya kerana dia terlalu biasa berlari di Australia.”

Gout berkata akan sentiasa ada “pembenci”. “Kalau ada pembenci, maknanya anda sedang buat sesuatu yang betul,” katanya.

“Itulah hakikatnya. Saya tak ambil hati, saya teruskan berlari. Catatan itu memang laju, sebab itu mungkin mereka marah. Ia beri motivasi kepada saya untuk buat perlumbaan lebih besar dan berlari lebih pantas.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top