Hamzah dijangka buat pengumuman penting Sabtu ini

Hamzah dijangka buat pengumuman penting Sabtu ini
Hamzah dijangka buat pengumuman penting Sabtu ini

Konvensyen ‘Reset’ Malaysia bakal berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu ini.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka membuat pengumuman penting berhubung masa depan politik beliau.

Dinamakan Konvensyen ‘Reset’ Malaysia, acara itu bakal berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu ini jam 12.30 tengah hari.

Hamzah berkata, setiap negara akan sampai ke satu titik yang mana rakyat perlu memilih untuk terus berpecah atau kembali semula ke titik asas iaitu ‘Reset’.

“Reset sekarang untuk masa hadapan,” katanya ringkas pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, penyokong Hamzah dijangka berhimpun bagi mengetahui hala tuju politik baharu di bawah pimpinan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Beliau dalam masa sama menganggarkan, jumlah kehadiran kali ini lebih tinggi iaitu sekitar 10,000 orang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memberi bayangan bahawa pengumuman mengenai sebuah parti politik baharu untuk menghadapi pilihan raya akan dilakukan semasa atau tidak lama selepas persidangan tersebut.

“Kami semua menyokong Hamzah. Keahlian dalam parti baharu ini hanya diumumkan selepas pengumuman rasmi mengenai penubuhan parti berkenaan,” ujarnya.

Pada 14 Februari lalu, Hamzah melancarkan gerakan ‘Reset’ bersama beberapa Ahli Parlimen dan penyokong akar umbi, sehari selepas beliau dipecat serta keahliannya digugurkan daripada Bersatu.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memimpin ‘Reset’ berasaskan satu konsensus nasional baharu.

Tanpa parti baharu, Hamzah yang kini duduk bersebelahan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan kembali bersidang sebagai Ahli Parlimen Bebas bersama wakil rakyat lain yang dipecat.

Mesti Baca

Scroll to Top