Acara Social Serve Kidnergy Pickleball anjuran iMedia Asia dengan kerjasama Kidsnergy dan sokongan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) sudah menutup tirainya.
Ini merupakan sebuah acara sukan kekeluargaan selama tiga hari yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober 2026 di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang.
Baca juga: Bayi enam bulan parah diserang monyet di Paya Jaras Hilir
Direka khas untuk golongan muda berusia antara 7 hingga 17 tahun, kejohanan ini menggabungkan aktiviti sukan dengan pendidikan literasi kewangan.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan peserta membina tabiat kewangan yang sihat menerusi nilai-nilai positif dan kemahiran hidup yang dipelajari di gelanggang.
Majlis pelancaran rasmi diserikan dengan upacara pembukaan yang dihadiri enam wakil daripada sektor sukan, kerajaan, kewangan, media dan venue.
Majlis tersebut merangkumi ucapan alu-aluan, penyampaian cenderahati penghargaan kepada rakan kerjasama utama serta acara memecahkan belon yang diketuai ketujuh-tujuh tetamu kehormat sebagai simbolik pelancaran rasmi kejohanan.
Sepanjang program tiga hari itu, peserta digalakkan menerapkan nilai disiplin, perancangan dan kemahiran membuat keputusan, bukan sahaja ketika bersukan, malah dalam menguruskan kewangan mereka.
Majlis pembukaan tersebut dihadiri oleh:
-Goh Liu Ying, Pengasas Kidsnergy
-Jasveen Kaur Marne, Wakil Lantikan, Great Eastern Takaful Berhad
– Rashida Mior Ahmad Darwish, Ketua Pemasaran Great Eastern Takaful Berhad
-Magdelene Anak Manjah, Penolong Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
-Voon Tze Khay, Ketua Pegawai Eksekutif iMedia
-Francis Chin, Pengarah Kanan iCAUR Malaysia
-Brian Choo, Pengasas Bersama dan Pengarah PLAYA Racquet Club
Sukan Sebagai Medium Pendidikan Literasi Kewangan

Kerjasama ini berteraskan satu idea yang mudah, iaitu kesabaran, disiplin, penetapan matlamat dan kemahiran membuat keputusan yang dipraktikkan di gelanggang pickleball merupakan antara asas penting yang turut membantu kanak-kanak memahami pengurusan kewangan secara lebih berkesan.
Amalan seperti menyimpan wang saku, membuat pilihan antara kehendak dan keperluan, serta mengetepikan wang untuk mencapai matlamat yang lebih besar merupakan antara asas pengurusan kewangan yang boleh dipelajari.
Ini sama seperti kemahiran melakukan pukulan baru dalam sukan, iaitu melalui latihan berulang, amalan berterusan dan pencapaian kecil.
Menurut Jasveen Kaur Marne dari GETB, kejohanan ini menunjukkan bahawa sukan mampu menjadi platform yang berkesan untuk membentuk generasi muda yang lebih berdaya saing, berdisiplin dan yakin dengan kebolehan diri.
“Melalui semangat Mencapai Kejayaan, kami ingin menginspirasikan individu untuk berani bermimpi lebih tinggi, berusaha bersungguh-sungguh dan merealisasikan potensi terbaik mereka.
“Setiap kali anda melangkah ke gelanggang, mencabar kemampuan diri atau mempelajari sesuatu yang baharu, anda sebenarnya sedang mengambil satu langkah ke arah kecemerlangan.

Menerusi inisiatif Great Eastern Juniors oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB), kejohanan ini menjadi platform untuk menjadikan pendidikan literasi kewangan lebih mudah diakses, menarik dan dekat dengan kehidupan seharian kanak-kanak.
Dengan menghubungkan pembelajaran pengurusan wang kepada pengalaman harian, inisiatif ini membantu peserta muda memahami konsep kewangan tanpa perlu bergantung pada istilah kompleks.
Ibu bapa yang hadir juga digalakkan untuk mengukuhkan pembelajaran ini melalui perbualan yang mudah tetapi bermakna, seperti berbincang tentang matlamat simpanan anak-anak atau membantu mereka memahami perbezaan antara kehendak dengan keperluan.
Gerakan Sukan Akar Umbi Dengan Jangkauan Seluruh Negara
Kidsnergy diasaskan oleh pemenang pingat Olimpik Malaysia, Goh Liu Ying, dan kini berkembang menjadi antara gerakan sukan terkemuka di Malaysia yang telah menjangkau ribuan keluarga di seluruh negara.
Goh Liu Ying dipetik sebagai berkata, bidang sukan banyak mengajarnya tentang banyak perkara penting untuknya.
“Jika ada satu perkara yang sukan ajar saya lebih daripada kemenangan, itu adalah kesabaran, disiplin berlatih pukulan yang sama beratus kali sehingga ia menjadi sebati, dan belajar menerima kekalahan mata, bangkit semula, dan cuba lagi”.
Melalui kerjasama dengan GETB, Kidsnergy dan iMedia Asia berhasrat menjadikan sukan serta pendidikan kewangan lebih mudah diakses, menarik dan bermakna untuk keluarga di seluruh negara.
Kategori Kejohanan dan Hadiah Menarik
Kejohanan ini menawarkan pelbagai kategori untuk pemain daripada semua peringkat umur dan tahap pengalaman, termasuk:
-Open Parent and Kid – Kategori untuk ibu bapa dan anak bertanding bersama.
-Kategori Junior – Bawah 8 tahun (U8), U10, U12, U14, U16 dan U18.
-Intermediate Combined 7.0 – Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran.
-Novice Combined 5.8 – Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran.
Hadiah yang ditawarkan mengikut kategori adalah seperti berikut:
-Beregu Junior (U8–U18): RM400 / RM300 / RM200
-Perseorangan Junior: RM200 / RM150 / RM100
-Open Parent and Kid: RM500 / RM360 / RM260
-Intermediate Combined 7.0 (Dewasa): RM2,000 / RM1,500 / RM1,000
-Novice Combined 5.8 (Dewasa): RM1,500 / RM1,000 / RM750
Cenderahati serta hadiah tambahan daripada penaja acara turut disediakan.
Menurut pihak penganjur, kemenangan hadiah oleh kanak-kanak juga boleh dijadikan peluang untuk mengajar mereka tentang kepentingan menyimpan wang, berbelanja secara bijak dan menetapkan matlamat kewangan.
The post iMedia Social Serve Kidsnergy Pickleball Didik Kanak-Kanak Tentang Literasi Kewangan appeared first on Oh! Media.