Ipoh dalam radar ejen pelancongan dunia

Ipoh dalam radar ejen pelancongan dunia
Ipoh dalam radar ejen pelancongan dunia

Sebahagian ejen pelancongan antarabangsa yang menyertai program Ipoh Heritage and Cultural Experience pada Julai lalu.

IPOH – Pengalaman beberapa ejen pelancongan antarabangsa yang menyertai program Ipoh Heritage and Cultural Experience pada Julai lalu membuktikan bandar raya ini semakin mendapat tempat sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan budaya di negara ini.

Wakil ejen pelancongan dari Uzbekistan, Sanobar menyifatkan kunjungan pertamanya ke Ipoh sebagai satu pengalaman yang mengagumkan walaupun sebelum ini sudah beberapa kali ke Malaysia.

“Ipoh memiliki nilai tambah yang besar dari segi sejarah dan budaya yang boleh diketengahkan kepada pelancong antarabangsa, sekali gus berpotensi dimasukkan dalam pakej pelancongan agensinya.

“Melalui promosi yang berterusan dan penyusunan produk pelancongan yang menarik, saya yakin Ipoh mampu menarik lebih ramai pelancong dari Uzbekistan,” katanya.

Sementara itu, ejen pelancongan dari India, Sarah berpandangan Ipoh mempunyai keunikan tersendiri sebagai sebuah bandar yang tulen, bersih dan kaya dengan kawasan hijau.

Katanya, faktor ketenangan dan suasana santai menjadikan Ipoh sesuai sebagai destinasi percutian lebih panjang, khususnya bagi pelancong warga emas dan pencinta alam semula jadi.

“Saya melihat Ipoh sebagai destinasi baharu yang berpotensi dalam pasaran India memandangkan kebanyakan pelancong dari negara kami lebih tertumpu ke Kuala Lumpur, Genting Highlands, Pulau Pinang dan Langkawi,” katanya.

No Image Caption

Dalam pada itu, wakil Indonesia, Ulul Azmi menyifatkan pemeliharaan bangunan bersejarah di Ipoh sebagai antara tarikan utama yang membezakan bandar ini dengan destinasi lain.

Beliau berkata, keaslian seni bina peninggalan zaman penjajahan yang masih digunakan sehingga kini memberikan pengalaman autentik kepada pelancong.

“Saya suka menikmati makanan tempatan seperti tauhu, taugeh dan hidangan popular lain. Ini semua menjadi daya tarikan yang melengkapkan pakej pelancongan di Ipoh.

“Sudah tentu Ipoh pilihan baharu dalam pakej pelancongan dari Indonesia,” katanya.

Naib Presiden Outbound Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Chong Yu Ken berkata, peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa serta pertambahan hotel baharu menunjukkan industri pelancongan negeri ini berada pada landasan positif.

“Aspek infrastruktur dan kesalinghubungan terutama penerbangan antarabangsa perlu dipertingkat bagi memperkukuh daya saing Perak di peringkat global,” katanya.

Perkembangan positif sektor pelancongan itu didorong pelaksanaan dasar yang jelas antaranya menerusi Flagship Ekonomi Pengalaman di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Scroll to Top