SHAH ALAM – Kerajaan disaran mengambil pendirian lebih tegas terhadap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan menetapkan tempoh masa untuk menempatkan semula pelarian, khususnya etnik Rohingya, ke negara ketiga atau menutup pejabat agensi itu di Malaysia.Pengamat dan pemerhati isu Rohingya, Norman Fernandez berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan susulan keputusan UNHCR menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di negara ini.Menurutnya, keputusan berkenaan memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya kerajaan memperjelaskan hala tuju pengurusan pelarian di Malaysia serta peranan sebenar UNHCR selepas ini.”Memandangkan UNHCR telah menghentikan proses pendaftaran dan dokumentasi pelarian, kerajaan perlu menetapkan tempoh masa untuk agensi itu menempatkan semula pelarian ke negara ketiga, khususnya Rohingya.”Jika UNHCR tidak mampu atau gagal menempatkan semula pelarian ke negara ketiga, kerajaan wajar mengarahkan pejabat UNHCR di Malaysia ditutup.”Pendirian ini perlu dijelaskan dan dimaklumkan kepada semua pihak mulai sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Pada Rabu, UNHCR mengumumkan penghentian serta-merta semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia.Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasminya, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan langkah tersebut diambil selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia mengambil alih urusan pendaftaran komuniti berkenaan.Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).Pada Isnin, beliau menjelaskan pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan memiliki rekod data yang sahih, menyeluruh dan tidak lagi bergantung kepada entiti luar.Mengulas lanjut, Norman berkata, kerajaan juga perlu mendesak UNHCR menyerahkan sepenuhnya rekod pendaftaran dan maklumat pelarian yang kini memegang kad pengenalan agensi tersebut.Katanya, Malaysia turut wajar mengumumkan bahawa bermula 1 Januari depan, kad UNHCR tidak lagi diiktiraf sebagai dokumen rujukan rasmi bagi pelarian di negara ini.”Saya juga berpandangan kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan susulan keputusan untuk tidak lagi membenarkan UNHCR menjalankan proses pendaftaran serta dokumentasi pelarian di Malaysia.”Kejelasan dasar ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelarian, agensi penguat kuasa serta masyarakat umum,” katanya.
Isu Rohingya: Sudah tiba masa kerajaan tetapkan syarat kepada UNHCR – Norman Fernandez
Malay News | https://www.malay.news/isu-rohingya-sudah-tiba-masa-kerajaan-tetapkan-syarat-kepada-unhcr-norman-fernandez/