am@hmetro.com.my
Isu penyelewengan dana dan manipulasi agama diangkat ke layar skrin menerusi naskhah lapan episod berjudul Di Sebalik Jubah.
Drama jenayah ini membongkar taktik kotor segelintir individu yang menggunakan pengaruh serta imej ‘alim’ demi mengaut keuntungan peribadi hingga sanggup mengkhianati kepercayaan ribuan penderma.
Diterajui dua bintang popular, Azira Shafinaz yang memegang watak sebagai Layla dan Daiyan Trisha pula Amina, membawa watak adik-beradik pempengaruh Islamik yang sangat dipuja.
Dengan imej berjubah dan memiliki aura kesucian, yayasan milik mereka, Laymina Shares berjaya meraih jutaan ringgit hasil sumbangan ribuan pengikut setia.
Namun, di sebalik kemewahan dan pujian, timbul ‘bau’ busuk apabila dana yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan, rupa-rupanya ‘disonglap’ untuk kegunaan peribadi mereka.
Kegiatan licik mereka mula goyah apabila Rashid (Nafiz Muaz), seorang dermawan muda yang dahulunya kagum dengan mereka, mula menghidu sesuatu yang tidak kena dalam projek kebajikan yang dijalankan.
Dengan bantuan Rashid, satu demi satu rahsia gelap mula tersingkap, sekali gus menguji hubungan Layla dan Amina serta meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap imej ‘suci’ yang mereka bina selama ini.
Bagi Daiyan, Amina yang dibawa adalah cerminan realiti masyarakat hari ini yang mudah terpedaya dengan imej dan kuasa.
“Amina terperangkap dalam keadaan menekan. Dia terikat dengan keluarga tapi dalam masa sama sedar ada sesuatu yang tidak betul. Ini sangat relevan kerana ia memperlihatkan bagaimana imej boleh mempengaruhi pilihan yang sepatutnya berlandaskan nilai,” katanya.
Siri yang mengupas pengkhianatan, agenda tersembunyi dan konflik kasih sayang ini bakal disiarkan setiap Isnin dan Khamis bermula semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




