
Jakoa menegaskan, sehingga kini tiada tanah Orang Asli yang diwarta dirampas oleh mana-mana pihak. Gambar hiasan
SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan tanah Orang Asli yang diwartakan telah dirampas seperti didakwa pihak tertentu.
Jabatan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menegaskan, dakwaan tersebut tidak tepat dan sehingga kini tiada tanah Orang Asli yang diwarta dirampas oleh mana-mana pihak.
“Kementerian menghargai pandangan serta cadangan yang dikemukakan menerusi memorandum dan akan meneliti setiap perkara dibangkitkan secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.
“Untuk makluman, sehingga kini tiada mana-mana tanah Orang Asli yang diwartakan dirampas seperti yang didakwa,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, KKDW menerima memorandum dikemukakan Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Greenpeace Malaysia serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli Malaysia berhubung isu berkaitan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Sachpreetraj Singh Sohanpal daripada Tetuan Raj & Sach yang mewakili NGO kepada Pegawai Khas Timbalan Menteri KKDW, Shahril Iqbal Abdul Rakeb.
Setiausaha Agung Peka, Vimala Raghavan mahu kerajaan mengadakan satu sesi rundingan dalam tempoh seminggu selepas memorandum diterima.
Beliau turut menuntut mesyuarat itu melibatkan wakil daripada semua 19 suku kaum Orang Asli di Semenanjung bersama wakil sah mereka.



