​’Jangan baru dicuit sedikit, sudah menggelupur dan melenting’

​’Jangan baru dicuit sedikit, sudah menggelupur dan melenting’

​KUALA TERENGGANU – Budaya politik sesetengah pihak yang dilihat umpama ‘baru dicuit sedikit, sudah menggelupur dan melenting’ mencerminkan kegagalan dalam menerima kritikan, idea baharu serta proses pembaharuan.

​Pemerhati Politik dan Antropologis Pembangunan Masyarakat, Dr Sahar Sa’di Hashim berkata, reaksi politik yang berlebihan sedemikian menunjukkan ketidaksediaan segelintir kepimpinan dalam menguruskan perbezaan pandangan secara matang.

​Menurutnya, dalam era perubahan landskap politik kontemporari, tindakan bersandarkan emosi, retorik mahupun sentimen kelompok dilihat semakin tidak berkesan untuk menjawab cabaran masa hadapan.

​”Politik yang matang bukanlah politik yang menolak perbezaan tetapi kemampuan untuk menguruskan perbezaan tersebut melalui dialog, hujah dan pertimbangan rasional.

​”Pemimpin yang berwibawa tidak sepatutnya takut kepada persoalan kritikal. Ini kerana kekuatan sebenar kepimpinan bukan diukur melalui keupayaan menutup mulut pihak yang berbeza pandangan, sebaliknya bagaimana mengurus perbezaan itu secara konstruktif,” katanya.

​Beliau mengulas mengenai trend politik identiti dan politik emosi (fear politics) yang kerap menggunakan elemen ketakutan serta kemarahan kelompok bagi meraih sokongan jangka pendek, namun akhirnya merosakkan ekosistem demokrasi.

​Mengulas lanjut, Dr Sahar menjelaskan bahawa tradisi Islam sendiri menerusi konsep syura (perundingan) dan ijtihad memberikan ruang yang luas terhadap kepelbagaian pandangan demi mencapai keputusan terbaik, seperti yang digariskan dalam Surah al-Syura, ayat 38.

​Malah katanya, bagi mendepani tuntutan rakyat hari ini, pemimpin perlu memiliki dua ciri utama yang ditekankan dalam Islam iaitu al-Qawiyy (berkemampuan/kompetensi) dan al-Amin (amanah/integriti).

​”Kekuatan tanpa amanah boleh membawa kepada salah guna kuasa, manakala amanah tanpa kompetensi pula akan melemahkan sistem pentadbiran.

​”Oleh itu, sebarang teguran atau kritikan yang hadir janganlah dipandang sebagai ancaman. Sebaliknya, jadikan ia peluang emas untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri dan memperkukuh perjuangan,” katanya lagi.

​Tambah beliau, rakyat pada masa kini tidak lagi memerlukan landskap politik yang hanya sekadar menghasilkan ‘bunyi’ atau perdebatan kosong tanpa penghujung.

​”Rakyat semakin bijak menilai berdasarkan prestasi dan kemampuan membawa perubahan nyata. Justeru, hentikan retorik dan fokus kepada solusi,” ujarnya.

Scroll to Top