lokman.khairi@hmetro.com.my
Ipoh: Daripada bergelar pemilik syarikat pembinaan, bapa dua anak ini ‘terjun’ ke bidang sewaan kenderaan mainan elektrik demi menyara kehidupan keluarga.
Rosdi Ibrahim, 51, berkata, sebelum menceburi bidang perniagaan permainan rekreasi keluarga itu, beliau pernah mengusahakan syarikat pembinaan sebagai kontraktor kelas F yang mengendalikan projek bernilai sehingga RM200,000.
Menurutnya, keputusan meninggalkan bidang pembinaan dibuat selepas mendapati perniagaan permainan mampu memberikan pendapatan lebih stabil berbanding sektor pembinaan yang bergantung kepada projek.
“Kadang-kadang ada projek, kadang-kadang tiada. Saya cuba berniaga secara kecil-kecilan dan akhirnya dapati perniagaan ini memberi pulangan lebih baik serta membuatkan saya lebih gembira.
“Ketika memulakan perniagaan ini sekitar 2017, saya hanya menggunakan modal simpanan sendiri sebanyak RM5,000.
“Ketika itu, saya sudah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah, jadi perniagaan inilah yang membantu menyara keluarga serta membesarkan anak-anak,” katanya.
Rosdi berkata, pada peringkat awal beliau hanya memiliki sekitar belasan unit kereta mainan elektrik dan skuter serta empat beca, malah antara pengusaha terawal memperkenalkan perkhidmatan beca di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini.
Beliau berkata, peluang berniaga di Bulatan Sultan Azlan Shah diperoleh selepas berjaya melepasi proses temu duga dan pembentangan perniagaan yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) pada 2017.
“Waktu itu kira-kira 38 peniaga memohon dan hanya empat pengusaha dipilih. Alhamdulillah saya antara yang berjaya mendapat tapak di sini.
“Pada saya, jasa terbesar PKNPk ialah memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk membina perniagan sendiri dengan penyediaan ruangan awam yang lengkap dengan kemudahan,” katanya.
Rosdi berkata, sepanjang mengusahakan perniagaan itu pelbagai cabaran terpaksa ditempuh termasuk kerosakan peralatan, kemalangan kecil serta kesan pandemik Covid-19 yang memaksa operasi dihentikan hampir setahun.
Katanya, ketika tempoh itu beliau bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan keluarga untuk meneruskan kehidupan, namun bersyukur apabila PKNPk tidak mengenakan sewa tapak sepanjang operasi ditutup.
“Sebaik dibenarkan beroperasi semula, banyak bateri dan peralatan rosak kerana terlalu lama tidak digunakan. Kami boleh dikatakan bermula semula dari kosong.
“Bagaimanapun, PKNPk membantu mempercepatkan pembukaan semula kawasan ini dan kami mula membaiki semula semua peralatan yang ada,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu menunjukkan komitmen berterusan PKNPk dalam mengangkat ruang awam sebagai platform pemerkasaan ekonomi rakyat, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi kepada komuniti serta pembangunan negeri ini.
PKNPk adalah agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memajukan sosioekonomi dan merangsang pelaburan di negeri selaras pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Rosdi berkata, perniagaan kembali pulih selepas pandemik dengan peningkatan hasil yang konsisten setiap tahun, dibantu pelbagai acara yang dianjurkan di kawasan berkenaan.
Katanya, selepas hampir sedekad beroperasi, jumlah kenderaan mainan elektrik kini melebihi 100 unit selain dibantu 16 pekerja.
“Kini terdapat lebih 30 peniaga pelbagai sektor seperti permainan kanak-kanak, makanan ringan, refleksologi serta aktiviti rekreasi paddlers beroperasi di Bulatan Sultan Azlan Shah dan kawasan ini terus menjadi tumpuan pengunjung setiap malam terutama ketika musim cuti sekolah.
“Alhamdulillah, pendapatan bulanan kini berada pada paras lima angka dan mampu menampung kos operasi serta gaji pekerja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




