LATEST

KPTM tawar tiga diploma di Sarawak

KPTM tawar tiga diploma di Sarawak

PETALING JAYA: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) merancang menawarkan tiga program diploma sebagai langkah awal membuka peluang pendidikan tinggi kepada anak Sarawak, dengan pengambilan kumpulan pertama dijangka bermula pada Oktober 2027.

Program yang dikenal pasti ialah Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Perniagaan Digital dan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), dengan pemilihan bidang dibuat berdasarkan keperluan tenaga kerja serta pembangunan ekonomi negeri menjelang 2030.

Baca juga: Berita popular hari ini

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penawaran itu hasil perbincangan serta libat urus bersama kerajaan negeri, termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat serta Yayasan Sarawak bagi memastikan bidang pengajian yang disediakan menepati keperluan semasa.

Menurutnya, pihak pengurusan KPTM perlu memastikan program yang ditawarkan bukan sekadar membuka peluang pendidikan, tetapi turut mempunyai prospek yang sesuai dengan hala tuju pembangunan negeri.

“Insya-Allah, jika kita mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, usaha untuk kolej interim itu akan dilaksanakan seberapa segera dan kita jangka pengambilan pertama pada Oktober tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pejabat Urusan KPTM di Kota Samarahan, semalam.

KPTM menyasarkan pengambilan kumpulan pertama pelajar di Kota Samarahan pada Oktober 2027.

Bagi memulakan operasi, KPTM sudah mengenal pasti sebuah bangunan berhampiran pejabat urusan berkenaan untuk dijadikan kolej interim yang bakal dilengkapi bilik kuliah, bilik pensyarah serta makmal bagi memenuhi keperluan pembelajaran.

Rubiah berkata, kelulusan di peringkat MARA tidak menghadapi masalah, namun pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum operasi kolej sementara itu dapat dimulakan.

Pada peringkat awal, KPTM menyasarkan pengambilan seramai 250 pelajar, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak untuk melanjutkan pengajian.

Katanya, ketika ini kira-kira 310 pelajar dari Sarawak sedang mengikuti pengajian di kampus KPTM di Semenanjung Malaysia, meningkat berbanding sekitar 100 pelajar sebelum ini.

Dalam usaha memperluas akses pendidikan, KPTM turut menyediakan tiket penerbangan kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung, manakala perbincangan dengan Yayasan Sarawak sedang dijalankan bagi membuka peluang kepada skim bantuan pelajar lain.

Dalam perancangan jangka panjang, KPTM menyasarkan pembinaan kampus tetap berhampiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mampu menampung sehingga 1,500 pelajar dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

Kampus berkenaan dirancang dilengkapi kemudahan pentadbiran, pengajaran dan asrama bagi menyokong perkembangan operasi serta keperluan pelajar apabila institusi itu berkembang kelak. – UTUSAN

The post KPTM tawar tiga diploma di Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news