
Terumbu karang merupakan antara ekosistem paling terancam di dunia.
PARIS – Lautan kini berdepan ‘krisis semakin meruncing’ yang memerlukan tindakan segera global segera, menurut laporan besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin lalu.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa lautan semakin panas dan paras air laut meningkat dengan lebih pantas, litupan ais semakin berkurangan serta ekosistem marin semakin tertekan.
Hasil gabungan penyelidikan selama lima tahun oleh 600 saintis antarabangsa, laporan setebal 1,352 muka surat itu memperincikan impak serius perubahan iklim, pencemaran dan penangkapan ikan berlebihan terhadap lautan dunia yang meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi.
“Lautan adalah asas kehidupan di bumi. Ia berada pada tahap berisiko tinggi apabila ekosistem dan habitat menghampiri atau melepasi titik kritikal,” menurut Penilaian Lautan Dunia (WOA).
Penemuan itu menuntut tindakan segera melalui kerjasama multilateral yang lebih kukuh, peningkatan komitmen dan keputusan yang berasaskan sains terbaik.
Laporan itu yang sebahagian besarnya meliputi tempoh antara 2018 hingga 2023 menggambarkan situasi lautan yang semakin membimbangkan.
Kira-kira 16 peratus daripada jumlah peningkatan kandungan haba lautan yang direkodkan sejak 1955 berlaku sejak 2018.
Paras laut terus meningkat pada kadar yang semakin pantas dengan kadar tersebut lebih daripada berganda daripada kurang 2.0 milimeter setahun sebelum 2015 kepada 4.3 milimeter pada 2023.
Terumbu karang pula merupakan antara ekosistem paling terancam di dunia. Gelombang haba laut yang berulang dan ribut kuat memberi tempoh terlalu singkat untuk pemulihan, sekali gus mendorong terumbu karang ke arah keruntuhan.
Peristiwa pemutihan karang sejak 2018 telah menyebabkan kematian meluas dengan amaran bahawa sehingga 90 peratus terumbu karang berpotensi lenyap sekiranya suhu global meningkat melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding paras praindustri.
Laporan itu turut menggesa pengurangan pengeluaran plastik, namun usaha ke arah itu masih menemui jalan buntu dalam rundingan antarabangsa.
Setiap tahun, kira-kira 52.1 juta tan sisa plastik memasuki lautan, menyumbang kepada anggaran 24.4 trilion zarah mikroplastik yang diketahui menjejaskan lebih daripada 4,000 spesies hidupan marin di seluruh dunia. – AFP



