KUALA LUMPUR – Kewujudan “wartawan segera” di media sosial yang menyebarkan berita sensasi tanpa semakan dan etika kewartawanan kini berada pada tahap membimbangkan hingga boleh mengelirukan masyarakat.
Bekas editor, wartawan dan penyampai berita, Charles Mohan berkata, perkembangan dunia digital membolehkan sesiapa sahaja menyalurkan maklumat tanpa batasan hanya dengan menggunakan telefon pintar dan platform media sosial.
Beliau berkata, meskipun perkembangan itu mencerminkan kebebasan teknologi, ia turut membawa cabaran besar apabila segelintir pengguna cenderung menyebarkan kandungan sensasi demi mengejar tontonan dan perhatian.
“Keadaan itu menjadi lebih serius apabila isu sensitif yang melibatkan raja, agama dan kaum (3R) turut dimanipulasi hingga berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Kehadiran gajet pintar membolehkan sesiapa sahaja bertindak sebagai ‘pelapor berita’ di media sosiaI. Impaknya, rakyat cepat terpengaruh dengan maklumat sensasi itu, termasuk isu 3R tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Selain itu, Charles berkata, budaya “kongsi dahulu, semak kemudian” dalam kalangan pengguna media sosial turut menyumbang kepada penularan berita palsu dan maklumat tidak tepat.
Beliau berkata, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab serta membina literasi media yang tinggi dengan mendapatkan pengesahan daripada sumber berita yang sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
Beliau berkata, agensi media arus perdana seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu dijadikan rujukan utama memandangkan setiap laporan melalui proses tapisan serta suntingan ketat sebelum disiarkan.
“Seorang gatekeeper atau editor berita memikul tanggungjawab serta etika yang sangat tinggi. Sesuatu maklumat itu akan ditapis, dinilai dan dipastikan kesahihannya secara menyeluruh sebelum ia dilepaskan kepada umum demi memastikan kedaulatan maklumat itu terpelihara,” katanya.
Pada masa sama, Charles mencadangkan agensi media arus perdana mempertingkatkan elemen kreativiti khususnya daripada aspek reka bentuk dan pendekatan visual yang lebih dinamik bagi menarik minat generasi muda terhadap kandungan berita sahih.
“Kita tidak boleh hanya selesa dengan kumpulan sasar sedia ada. Sebaliknya, aspek reka bentuk, kreativiti visual dan penyampaian maklumat perlu sentiasa dinilai serta disesuaikan mengikut trend digital semasa.
“Apabila berita sahih dikemas kini dalam format yang dekat dengan jiwa anak muda, barulah kita dapat bersaing dengan lambakan kandungan sensasi di media sosial,” kata beliau.- Bernama



